Peluang pasukan negara untuk mara ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 yang sedang berlangsung di China masih bernyala selepas berjaya mengutip satu mata berharga dengan mengikat Jordan 1-1 dalam aksi kedua yang berlangsung pada Sabtu.
Setelah bermula dengan agak hambar dan ketinggalan pada minit ke-16 menerusi jaringan Ward Helal Khalid, pasukan negara bangkit dengan permainan lebih bertenaga dan berjaya menyamakan kedudukan di pertengahan separuh masa kedua menerusi penalti disempurnakan Safawi Rasid.
Skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee tampak lebih mengancam selepas itu dan berpeluang meraih tiga mata namun dua percubaan menerusi Akhyar Rashid dan Mathew Davies dinafikan tiang gol.
Ianya nyata permainan yang jauh lebih baik berbanding ketika tewas 1-4 kepada Iraq dalam aksi pembukaan di mana dua gol lawan hadir menerusi kesilapan pemain negara.
“Ini membuktikan kita boleh bersaing di pentas Asia, pemain menunjukkan karakter dan kesungguhan untuk bangkit walaupun ramai yang tidak meletakkan harapan,” kata Kim Swee yang membuat dua pertukaran dalam kesebelasan utama dengan merehatkan N.Thanabalan dan Ifwat Akmal Chek Kassim. Â
Malaysia bagaimanapun berdepan tugas sukar apabila perlu menang ke atas pasukan pilihan yang juga naib juara edisi lalu, Arab Saudi dalam aksi terakhir pada Selasa ini jika berhasrat meneruskan kemaraan dan Kim Swee menuntut pemainnya kekal fokus dan menampilkan aksi terbaik untuk melakar kejutan.
“Apa yang pemain perlukan adalah sokongan, sokongan akan memberikan mereka keyakinan dan bila mereka bermain dengan yakin, mereka boleh dominasi sesiapa sahaja.
“Sekarang apa yang penting saya tidak mahu mereka terbuai dengan pujian yang diberikan di atas kejayaan mengikat Jordan sebaliknya cuba catat keputusan yang lebih cemerlang menentang Arab Saudi. Memang di atas kertas ia sukar, tetapi kita tidak datang ke sini untuk mengalah,” tambah Kim Swee.OLEH MUHD AIMANÂ