Percaturan Datuk Ong Kim Swee malam tadi semakin memberi satu keyakinan bolasepak Malaysia mungkin sudah bersedia untuk ‘kembali’ selepas hambar dengan 1001 kekecewaan.
Tidak ramai yang menjangkakan ledakan pemain tengah, Daniel Amier Norhisham memastikan kemenangan ke atas naib juara 2013, Arab Saudi sekaligus membawa Malaysia bawah 23 tahun negara melayakkan diri ke peringkat suku akhir Kejuaraan Piala AFC B 23 di China.
Kemenangan itu juga mengecewakan Arab Saudi untuk ke pusingan kalah mati selepas berada di tangga tercorot kumpulan, dua mata berbanding skuad kendalian Ong Kim Swee yang menduduki tangga kedua dibelakang Iraq.
Malaysia akan menanti juara kumpulan D, Korea Selatan, Vietnam, Australia dan Syria, di mana persaingan masih terbuka buat keempat-empat pasukan tersebut.
Sudah tentu Kim Swee wajar diberi pujian kerana berjaya melakar satu lagi sejarah selepas membawa skuad B 23 tahun negara layak ke pusingan akhir Piala AFC B 23 buat julung kalinya.
Namun, ia tidak akan berjaya tanpa usaha, latihan dan pendedahan yang telah diberikan jurulatih jurulatih yang pernah mengendalikan pemain pemain ini sehingga mereka dipanggil untuk menggalas tugas selaku pemain kebangsaan di China ketika ini.
Malah Tunku Ismail turut menjadi sebahagian kepada nadi kejayaan skuad B 23 negara susulan kerjasama dengan Korea Selatan.
Dari satu aspek, barisan kejurulatihan Datuk Ong Kim Swee dan pemain pemain membuktikan, perkataan yang seringkali dilafazkan ‘masuk ke final sudah cukup bagus’ atau seumpamanya belum memadai.
Jelas sekali dapat kita saksikan elemen tekanan menjadi ‘karakter’ penting dalam mematangkan pemain pemain.
Ia dibentuk selepas aksi hambar pada perlawanan pertama dimana mereka tewas 1-4 kepada Iraq dimana kesilapan mudah memberi ruang kepada lawan untuk mencetak gol.
Namun, prestasi pemain pemain ternyata berubah apabila berjaya mengikat pemenang tempat ketiga pada 2013, Jordan.
Laungan Malaysia Boleh! bergema di bumi Malaysia, bahkan di media sosial selepas ledakan Daniel di separuh masa pertama ketika Malaysia menunjukkan jalan keluar kepada Arab Saudi.
Apa sahaja keputusan di peringkat suku akhir nanti, terpulang kepada Kim Swee dan pemain pemain kerana sebagai satu satunya pasukan dari rantau Asia Tenggara yang layak setakat ini, mereka setidak tidaknya meletakkan benua Asia Tenggara sebagai salah satu pencabar di masa akan datang.
Tuah, nasib bukan lagi cerita utama, kerana siapa sahaja yang mendahului sehingga wisel penamat ditiup, itulah pemenangnya.
Memandang jauh ke hadapan, pencapaian ini sudah wajar dijadikan sebagai kunci penunjuk prestasi (KPI) bahawa skuad bolasepak wajar dinaik taraf sebagai kategori A ke Sukan Asia.
Mungkin ada yang berpendapat, satu kejohanan sahaja tidak memadai, prestasi perlu konsisten. Tetapi dari satu sudut lain, jika apa yang ditunjukkan oleh skuad B 23 tahun negara adalah permulaan, maka tidak rugi mereka diberikan peluang.
Setidak tidaknya, ia boleh dijadikan sebagai ganjaran selepas usaha keras Kim Swee dan pemain pemain yang berjaya mencipta sejarah dalam bolasepak negara.
Jika pemain pemain sudah berkorban, mengapa tidak barisan pengurusan tertentu membantu agar bolasepak dimasukkan sebagai sukan kategori A ke Sukan Asia? OLEH KU MOHD LUFTI