Bekas tonggak pertahanan skuad kebangsaan, Mahali Jasuli akan kembali bekerjasama dengan Datuk K.Rajagobal apabila dia secara rasminya menyertai skuad PKNS FC sebagai pemain pinjaman selama semusim.
Pemain berusia 28 tahun itu juga akan kembali berganding semula bersama beberapa bekas rakan sepasukan di skuad kebangsaan antaranya Safee Sali, Khyril Muhymeen dan K.Gurusamy.
Mahali adalah salah seorang daripada himpunan bekas pemain Harimau Muda yang diketengahkan oleh Rajagobal ketika beliau menjadi jurulatih skuad B-23 dan senior negara dari 2007 – 2013 dan pantas menyerlah mencipta nama sebagai antara bek kanan terbaik dalam negara.
Di bawah bimbingan Rajagobal, pemain yang seangkatan Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Baddrol Bakhtiar, Safiq Rahim serta Norshahrul Idlan Talaha itu membantu skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 (Dato’ Ong Kim Swee) selain Piala AFF Suzuki 2010.
Mahali yang pernah mewakili Selangor pada 2012 sebelum berhijrah ke Johor Darul Takzim pada 2014 telah membantu pasukan itu menjulang semua piala di pentas domestik selain Piala AFC 2015, namun khidmatnya tidak lagi berada dalam perancangan pengendali Harimau Selatan, Ulises Morais.
Dia juga diberitakan menarik minat pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel yang mencari pertahanan baru selepas gagal mendapatkan Baihakki Khaizan namun skuad warga kota tidak meneruskan usaha untuk mendapatkannya disebabkan faktor kewangan.
Dengan kehadiran Mahali, pertahanan sang semut merah dilihat serba mantap apatah lagi mereka turut diperkuatkan bekas tonggak Kedah, Zac Anderson, Qayyum Marjoni Sabil, K.Reuben, pemain berdarah kacukan Malaysia-Ghana Rodney Akwensivie dan beberapa pemain berpengalaman lain seperti P.Gunalan dan Azmizi Azmi.
Selain itu, mereka juga telah merekrut beberapa nama berprofil tinggi antaranya Faris Ramli dari Singapura dan Jafri Firdaus Chew dari Pulau Pinang sekaligus menampakkan usaha serius mahu memberi tentangan sengit dalam Liga Super 2018. – OLEH MUHAMMAD AIMAN