Selepas Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz, Johor Darul Takzim (JDT) merekrut semula seorang lagi bekas pemain import mereka Gonzalo Cabrera sekaligus melengkapkan kuota lima import mereka bagi musim 2018.
Pemain kelahiran Argentina itu membantu skuad harimau selatan menjulang Liga Super buat kali keempat berturut-turut dan Piala Malaysia pada musim lalu namun kontraknya bersama seorang lagi rakan senegara Gabriel Guerra tidak diperbaharui selepas berakhir musim 2017.
Begitupun, kesuntukan masa mencari import kuota Asia memaksa JDT mengambil semula pemain itu yang menjaringkan 19 gol dalam semua pertandingan musim lalu memandangkan dia turut memiliki passport Iraq.
Dengan kehadiran Cabrera untuk bergandingan dengan Figueroa, Diaz serta penyerang kebangsaan seperti Hazwan Bakri, Darren Lok, Shafiq Ahmad dan Safawi Rasid, barisan serangan JDT dilihat serba mantap dan mereka tampak bersedia menghadiahkan igauan buruk buat pertahanan lawan.
Dua lagi pemain import JDT adalah Marcos Antonio dan Hariss Harun, namun mereka pada hakikatnya mempunyai ‘pool’ pemain yang lebih besar kerana boleh menggunakan khidmat pemain dari JDT II pada bila-bila masa memandangkan pasukan itu adalah ‘feeder club’ kepada mereka.
Cabrera dijangka akan berada dalam senarai pemain JDT dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Kedah yang juga akan menjadi aksi pembuka tirai Liga Super 2018.
Musim lalu kedua-dua pasukan turut bertemu dalam aksi sulung Liga Super di mana perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri namun Kedah menjulang Piala Sumbangsih setelah menang penentuan penalti. – OLEH MUHAMMAD AIMAN