Uitm FC terlepas peluang melonjak ke kedudukan teratas 100PLUS Liga Premier setelah sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Kuantan FA di Stadium Uitm Shah Alam, pada Sabtu.
Uitm FC bimbingan Wan Mustafa Wan Ismail mendahului pada minit ke-58 menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Kuantan FA, Daudsu Jamaluddin namun pasukan pelawat mencuri satu mata menerusi penalti Zarko Korac pada minit ke-69.
Keputusan itu menyaksikan Uitm FC masih kekal tanpa kalah selepas tiga perlawanan dan berada di tempat ketiga dengan lima mata manakala bagi Kuantan FA ia adalah keputusan seri kedua berturut-turut dan berada di tangga kesepuluh dengan dua mata.
Kegagalan Uitm mengutip tiga mata menyaksikan Sabah yang menewaskan PDRM 2-0 lebih awal pada Jumaat menerusi jaringan Maxsius Musa dan Heo Jeonyeong kekal sebagai pendahulu setidak-tidaknya untuk tempoh 48 jam dengan tujuh mata.
Kedudukan itu berpotensi untuk berubah seandainya Felda United berjaya menewaskan Pulau Pinang pada Isnin.
Dalam aksi lain, hatrik luar biasa dalam tempoh lima minit terakhir oleh Casagrande membantu Felcra FC bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan bergaya 3-2 ke atas Sarawak di Kuching.
Sarawak sebelum itu mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Bobby Gonzales dan Mateo Roskam. Bagi Felcra ia adalah kemenangan pertama dan membantu mereka melonjak ke tangga keempat, manakala Sarawak tergelincir ke tangga keenam.
Sementara itu, UKM FC turut mencatat kemenangan pertama selepas mengejutkan Johor Darul Takzim II menerusi jaringan tunggal pemain import, Sein Nam di Stadium Selayang sekaligus melonjak ke tangga kelapan.
MIFA yang mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Terengganu FC II pada Jumaat pula berada di tangga kelima. – OLEH MUHAMMAD AIMAN