Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe membuat keputusan besar apabila mengugurkan kesemua 14 pemain Johor Darul Takzim bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan pada 27 Mac ini.
Keputusan Cheng Hoe ini hadir selepas skuad negara sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang pasukan semi professional Mongolia dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Pemain-pemain yang digugurkan adalah Haziq Nadzli, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, La’vere Corbin Ong, Safiq Rahim, Natxo Insa, Ahmad Hazwan Bakri, Afiq Fazail, Safawi Rasid, Darren Lok, Nazmi Faiz Mansor, Syafiq Ahmad, Adam Nor Azlin dan Adib Zainudin.
Sembilan pemain telah dipanggil sebagai pengganti iaitu Norhakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zaipol Bahari (Perak), Zaquan Adha Abdul Razak (KL), Shahrel Fikri (PKNP FC), Shahril Saari, Jafri Firdaus Chew (PKNS FC), R.Kogileswaran (Pahang) dan Syawal Nordin (Kedah).
Timbul spekulasi mengatakan kesemua pemain JDT bukan digugurkan atas kerelaan Cheng Hoe, sebaliknya telah dipanggil pulang oleh kelab mereka susulan menerima kritikan hebat ketika perlawanan menentang Mongolia namun Cheng Hoe menafikan perkara tersebut.
“Kehadiran sembilan pemain baru merupakan proses penggiliran pemain untuk memberi mereka peluang diturunkan bertemu Lubnan (27 Mac) dan Nepal (1 April).
“Mereka bukannya menggantikan mana-mana pemain atau digugurkan seperti dakwaan di media sosial, tetapi penggiliran pemain. Ini juga disebabkan desakan segelintir penyokong yang mahu kita mencuba pemain lain bermain dengan Harimau Malaya,” ujar Cheng Hoe.
Jika benar itu alasan Cheng Hoe, tepatkah keputusan yang dibuatnya? Kalau penggiliran pemain menjadi satu alasan, kenapa sehingga semua 14 pemain JDT digantikan? Kenapa tidak kekalkan sahaja tiga atau empat pemain seperti Safawi, Natxo, Hazwan serta Adam, dan hanya gugurkan sahaja pemain lain? Hanya pengendali itu yang ada jawapannya yang sebenar. – OLEH MUHAMMAD AIMAN