Skuad bolasepak negara seperti dijangka gagal menoktahkan kemarau kemenangan lebih setahun apabila tewas 1-2 kepada Lubnan di Beirut dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 pada Selasa sekaligus menamatkan cabaran Kumpulan B dengan hanya satu mata.
Satu mata yang diraih itu adalah ketika seri 2-2 menentang Hong Kong di gelanggang sendiri pada tahun lalu dan selepas itu pasukan negara mengalami empat kekalahan berturut-turut.
Bagaimanapun ini adalah kekalahan pertama di bawah kendalian Tan Cheng Hoe namun bekas pengendali Kedah itu yang menurunkan barisan kedua atau lebih tepat barisan bidan terjun setelah merehatkan semua pemain utama dari Johor Darul Takzim ada sebab untuk menaruh keyakinan kepada skuad ‘masa depan’ nya ini.
Ini kerana barisan kedua yang diturunkan menunjukkan permainan yang jauh lebih berkualiti dengan hantaran-hantaran pendek menarik dan permainan menyerang pantas. Malah lebih penting mereka bermain penuh semangat demi maruah negara.
Antara yang dilihat cukup menyerlah adalah pemain Kedah, Akram Mahinan serta pemain sayap Felda United, Wan Zack Haikal selain Nazmi Faiz Mansor – walaupun pemilihannya hebat dipertikaikan kerana sekadar menjadi simpanan di JDT II, Nazmi Faiz memberi justifikasi kenapa dia masih layak menyarung jersi Harimau Malaya.
Jika tidak kerana gol kemenangan di masa kecederaan oleh Hilal Al Helwe, skuad negara sepatutnya pulang dengan satu mata setelah tandukan Syafiq Ahmad hasil hantaran Nazmi Faiz pada minit ke-72 memadam jaringan pembukaan Hassan Maatouk menerusi sepakan penalti di separuh masa pertama.
Memang ia bukanlah prestasi bertaraf lima bintang, tetapi mereka semua layak menerima pujian dan diberi kredit kerana hanya yang mempunyai semangat cintakan negara tidak akan sesekali berundur sebelum perjuangan berakhir.
Aksi seterusnya adalah perlawanan persahabatan menentang Bhutan pada 1 April dan jika pemain menunjukkan keghairahan sama, corak permainan sama dan mentaliti sama, tidak mustahil akhirnya kemenangan pertama dapat dirasai selepas 16 bulan.
Bhutan mungkin bukan lawan kita, tetapi melihat kepada scenario semasa, kita perlu akui bolasepak kita sudah menjunam ke kedudukan lebih teruk dari Kemboja dan kini setaraf dengan pasukan semi-pro seperti Bhutan, Nepal, Mongolia, Bangladesh sehingga ramai yang meragui apakah kita boleh menang jika bertemu pasukan-pasukan tersebut.
Jadi, ayuh Harimau Malaya, bangkit dan buktikan bahawa era kebangkitan sudah bermula. Jadikan Bhutan sebagai mangsa permulaan dan jadikan 2018 sebagai tahun yang jauh lebih baik dari sebelumnya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN