Belum puas meraikan kejayaan Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad yang menghadiahkan emas pertama di temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018, kontijen negara menerima perkhabaran ceria apabila Muhammad Aznil Bidin pula menyumbang emas kedua menerusi sukan angkat berat.

Kejayaan Aznil, atlet kelahiran Kedah memenangi emas kategori 62 kilogram (kg) itu hadir sebagai kejutan apatah lagi dia tidak diletakkan harapan besar.

“Saya sendiri hanya sasarkan perak tetapi tak sangka dapat menang emas. Saya akui kemenangan Azroy pada sebelah pagi tadi telah menyuntik inspirasi dan memberikan semangat tambahan kepada saya.

“Saya bangga telah harumkan nama negara, kejayaan ini adalah untuk seluruh rakyat Malaysia dan keluarga yang tidak putus berikan sokongan,” kata Aznil yang berazam melakukan lebih baik di temasya Sukan Asia di Jakarta Ogos depan.  

Aznil memenangi emas di Carrara Sports and Leisure Center setelah melakukan angkatan seberat 126 kg dalam acara snatch dan 162 kg (clean and jerk) untuk catatan berat keseluruhan 288 kg.

Angkatan yang dilakukannya itu turut berjaya mengatasi catatan peribadi terbaiknya iaitu 279kg yang dilakukan ketika di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Dalam pada itu, pingat perak dimenangi oleh atlet dari Papua New Guinea, Morea Baru yang mengumpul 285kg keseluruhan manakala Talha Talib dari Pakistan memenangi gangsa dengan catatan 283 kg. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -