Ianya Jumaat yang penuh berkat buat Malaysia tatkala gelanggang gimnastik di Pusat Sukan Tertutup Coomara menjadi lubuk pingat pada hari terakhir sukan gimnastik berirama dipertandingkan.
Gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng menamatkan cabaran di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dengan penuh bergaya apabila menghadiahkan pingat emas kelima buat kontijen negara.
Gimnas berusia 23 tahun itu yang memenangi gangsa acara individu keseluruhan pada Khamis, mengumpul 13.200 mata setelah mempamer penguasaan dalam aparatus riben bersama-sama lentikkan yang memukau perhatian juri.
Pingat perak menjadi milik gimnas dari Cyprus, Diamanto Evripidou dengan catatan 12.900 mata manakala gangsa pula dimenangi seorang lagi atlet negara Koi Sie Yan dengan 12.000 mata.
Ini adalah pingat emas pertama negara dalam acara individu selepas kali terakhir Elaine Koon memenanginya di Sukan Komanwel New Delhi 2010.
Amy turut memenangi pingat gangsa menerusi apparatus gelung dengan mengumpul 13.550 mata sekaligus menjadi pingat keempatnya di temasya Gold Coast ini – dia juga memenangi pingat perak dalam acara berpasukan pada Khamis.
Sementara itu, Sie Yan pula menambah dua pingat perak dalam koleksinya menerusi apparatus bola (13.400 mata) dan apparatus belantan (13.850 mata).
Dengan pencapaian satu emas, tiga perak dan tiga gangsa, ia boleh dikatakan sebagai antara pencapaian terbaik skuad gimrama negara di pentas komanwel.OLEH MUHD AIMAN