Cabaran pasukan skuash negara di temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 berakhir dengan penuh mengecewakan setelah kedua-dua pasangan beregu lelaki dan wanita negara ditunjukkan jalan keluar di peringkat suku akhir pada Jumaat.
Bermula dengan kekalahan yang dialami pasangan S.Sivasangari-Rachel Arnold, ia kemudian disusuli pula dengan tersingkirnya Syafiq Kamal-Ng Eain Yow sekaligus menyaksikan pasukan skuash sekadar pulang dengan satu gangsa yang dimenangi Nafiizwan Adnan dalam acara perseorangan lelaki.
Sivasangari-Rachel tewas kepada pasangan England, Laura Massaro-Sarah Jane Perry dengan keputusan 0-2 (8-11, 10-11) dalam masa 25 minit.
Manakala Syafiq-Eain Yow pula memberi tentangan sengit sebelum tewas kepada bekas juara dunia dari Scotland, Greg Lobban-Alan Clyne dengan keputusan 1-2 (11-9, 6-11, 5-11) dalam masa 52 minit.
“Kami turun dengan menyedari ia bukan perlawanan mudah tetapi sangat bermotivasi mahu melakar kejutan, tetapi jelas ia bukan hari kami. Kami bermula dengan baik di set pertama, namun gagal mengekalkan momentum dan melakukan beberapa kesilapan mudah.
“Jelas pengalaman dan fizikal mereka jauh lebih baik dan mereka memanfaatkannya, apapun layak ke suku akhir adalah satu pencapaian yang bagus untuk kami,” kata Eain Yow.
Dalam dua edisi lepas di New Delhi 2010 dan Glasgow 2014, Malaysia pulang dengan meraih sebutir pingat emas menerusi ratu skuash, Dato’ Nicol Ann David. Nicol pada kali ini pulang hampa setelah kecundang di peringkat separuh akhir kepada Joelle King dan kemudiannya tewas pada perlawanan penentuan pingat gangsa kepada Tesni Evans.OLEH MUHD AIMANÂ