Pemain tengah, S. Veenod hanya akan bersetuju dengan penamatan kontrak lebih awal dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sekiranya ada pasukan mahu mengambilnya di jendela perpindahan kedua, atau KAFA membayar pampasan baki kontraknya.
Jika tidak, dia rela kekal bersama pasukan itu sehingga tamat kontrak pada hujung 2019 biarpun tidak diturunkan.
“Presiden minta saya tamatkan kontrak sendiri, mana boleh. Bukan saya minta digugurkan, mereka mahu tamatkan saya tanpa alasan kukuh. Mereka nak buat macam ni kat pemain lain boleh, tapi kalau nak buat benda sama dekat saya, mereka salah pilih orang untuk diperbodohkan. Kalau mereka tamatkan kontrak, perlu bayar pampasan, tetapi kalau saya yang minta ditamatkan, ia akan jadi persetujuan bersama dan tidak perlu bayar pampasan.
“Sebab itulah, pemain yang bersetuju dengan cadangan tamatkan kontrak sendiri semuanya dibayar sehingga bulan Mac, jadi kalau saya setuju saya akan dibayar sehingga bulan April. Lepas tu, apa jadi dengan periuk nasi saya? Setakat ni gaji bulan Februari pun belum dapat penuh, gaji bulan Mac dan April langsung tak dapat. Dah cuba jumpa, minta, mesej, whatsapp semua tak dilayan.
“Jadi kalau mahu tamatkan kontrak, bayar pampasan dan tunggakan gaji dari Februari sehingga April berjumlah RM100,000 dijelaskan. Itu hak saya sebagai pemain berkontrak, jika saya tunduk kepada arahan mereka, saya mungkin takkan dapat terus hak saya.Saya tidak pernah ada masalah dengan pasukan tetapi digugurkan.
“Mereka beritahu semua saya digugurkan sebab prestasi, tetapi ia sebenarnya kerana masalah kewangan, mereka tiada duit. Saya cuma main empat game sahaja dalam kesebelasan utama, jadi macam mana mereka nilai saya? Bila mereka cakap kepada semua saya tiada dalam perancangan kerana disiplin dan prestasi, cuba cakap pasukan mana yang akan ambil saya main?
“Kenapa masa tandatangan kontrak saya, mereka setuju dengan gaji saya kemudian timbul alasan sebegini? Kalau tahu tiada duit, lebih baik dari awal jangan ambil saya. Saya diarahkan untuk tidak turun berlatih, tidak bersama pasukan. Mereka cuba wujudkan persepsi negatif terhadap saya di mata penyokong.
“Mereka cuba nampak bagus depan penyokong dengan memburukkan saya sehingga saya dengar ada yang cakap saya ni ada masalah disiplin, saya ni main tak bagus, saya ni malas ketika latihan, saya ni tak bagi komitmen penuh. Semua ini kerana mereka tiada duit tetapi saya yang diburukkan. Jadi, macam mana saya nak bertolak ansur?
“Kalau nak tamatkan kontrak, bayar pampasan, bayar tunggakan, dan saya bersetuju, jika tidak simpan saya sehingga habis kontrak dan bayar mengikut kontrak walaupun saya tak main, bukan saya yang tak nak main,” katanya ketika dihubungi Sports 247.
Veenod adalah seorang daripada 12 pemain yang digugurkan KAFA kerana alasan ‘tiada dalam perancangan’ sejak Fajr Ibrahim dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan. Antara nama berprofil tinggi yang turut tersisih adalah Khairul Fahmi Che Mat dan Badhri Radzi yang hanya mendapat tahu mengenai pengguguran mereka menerusi media.
Sebelum itu, Norfarhan Muhammad dipinjamkan ke DAR Wanderers, Bruno Lopes ditamatkan kontrak kerana kecederaan manakala Ferdinand Sinaga turut meninggalkan pasukan menerusi persetujuan bersama setelah dia dimaklumkan tidak menepati KPI ditetapkan pengurusan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN