Pemain Kuala Lumpur, Odelia Wong Qiao Shi cemerlang selepas mempertahankan kejuaraan dalam acara perseorangan dan bergu perempuan bawah 16 tahun.
Aksi fnal sirkit kedua di Melaka hari ini memperlihatkan penguasaan Kuala Lumpur yang meraih tiga kemenangan daripada empat kategori yang dipertandingkan bagi saingan bawah 16 tahun.
Aksi perseorangan lelaki diungguli pemain dari Kuala Lumpur, Tan Jia Jie yang menundukkan rakan sepasukan Marcus Low Thong Zhi 21-19, 21-11 dalam masa 40 minit.
Ini adalah kemenangan sulungnya dalam sirkit kebangsaan tahun ini selepas sekadar beraksi sehingga suku akhir ketika di Putrajaya pada Mac.
Kuala Lumpur terus cemerlang apabila meraih gelaran juara menerusi perseorangan perempuan.
Juara sirkit pertama, Odelia Wong Qiao Shi melakar kemenangan straigt set 21-15, 21-19 ke atas wakil tuan rumah, Tan Yan Yi sekaligus mempertahankan gelaran juara buat kali kedua berturut turut.
“Saya tidak meletakkan sasaran untuk menang di sini kerana saya tidak berlatih lima hari kerana keracunan makanan sebelum ini.
“Tetapi lawan agak gemuruh dan saya hanya bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan,”kata Odelia.
Tidak cukup dengan satu kemenangan, Odelia turun beraksi dalam acara bergu perempuan, bergandingan dengan Wong Kha Moon.
Turun dengan status pilihan pertama kejohanan, Odelia dan Kha Moon nyata tidak diberi laluan mudah oleh wakil Sarawak, Adrienne Chan Yi Ning – Samantha Lee Ham Rou.
Odelia-Kha Moon menang 21-12 di set pertama namun Adrienne dan Samantha bangkit dengan aksi lebih kemas untuk melakar kemenangan 21-18 sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.
Adrienne dan Samantha bagaimanapun bukan tandingan Odelia-Kha Moon yang tenang sepanjang saingan untuk melakar kemenangan 21-13 sekaligus memberikan kemenangan ketiga untuk Kuala Lumpur.
“Saya banyak berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu kerana pasukan lawan memberi tentangan dengan baik.
“Kemenangan ini saya hadiahkan kepada Wong Kha Moon kerana tahun ini adalah aksi terakhirnya dalam kategori bawah 16 tahun,”kata Odelia lagi.
Melengkapkan perlawanan bagi kategori bawah 16 tahun, saingan final bergu lelaki diantara Joshua Voon Ern Hua-Pui Wee Young dari Sarawak yang turun berdepan gandingan tuan rumah, Choong Ting Foong-Ong Ken Yon.
Beraksi di depan penyokong sendiri nyata memberi suntikan semangat buat Ting Foong dan Ong Ken Yon yang melakar kemenangan straight set 23-21, 21-19 untuk merangkul kejuaraan pertama dalam sirkit kebangsaan.
Kejohanan Badminton 100PLUS Remaja Sirkit Kebangsaan ke dua Zon C berlangsung di Melaka pada 3 hingga 6 Mei melibatkanempat negeri , Melaka, Johor, Sarawak, dan Kuala Lumpur.
Sirkit pertama zon C telahpun berlangsung pada 7 – 11 Mac di Putrajaya.