Pendahulu Liga Super Johor Darul Takzim membawa masuk seorang lagi pemain import di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia, apabila menyambar khidmat Fernando Marquez dari kelab Liga Primera Argentina, Defensa y Justicia.
Pemain kelahiran Argentina itu hadir ke Larkin hanya beberapa hari selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan kekecewaan di atas prestasi ditunjukkan dua pemain import yang baru sahaja menyertai pasukan bulan lalu iaitu Harry Novillo dan Jorge Santos Silva.
Walaupun baru beraksi hanya tiga perlawanan, TMJ menyatakan tidak teragak-agak menyingkirkan mereka dan mencari pengganti lain walaupun ia dilihat sebagai satu pembaziran dan baginda membuktikan ia bukan sekadar cakap kosong.
Selain Marquez yang merupakan salah seorang penjaring terbanyak Liga Argentina 2017/2018, JDT dijangka mengumumkan seorang lagi pemain dari negara itu untuk memperkuatkan pasukan sebelum jendela perpindahan ditutup pada 3 Jun.
TMJ sebelum ini menyatakan segala “pembaziran” ini dibuat kerana harimau selatan memasang impian mahu muncul pasukan pertama dari Malaysia bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan untuk merealisasikannya perlu muncul juara Liga Super musim ini.
Mereka ketika ini sedang mendahului carta Liga Super dengan 29 mata, enam mata mengatasi pasukan tangga kedua Perak dan berdasarkan prestasi semasa serta konsistensi ditunjukkan pencabar lain, ianya hampir pasti mereka tidak akan berdepan masalah untuk mempertahankan kejuaraan liga buat musim kelima berturut-turut.MUHD AIMANÂ