Pengendali Kedah, Nidzam Adha Yusoff mengakui faktor kurang pengalaman dan gugup adalah punca penjaga gol muda Asri Muhammad melepaskan dua gol mudah ketika diaibkan dengan kekalahan 1-2 di tangan pasukan tangga tercorot, Kelantan dalam aksi Liga Super pada Selasa.
Asri, penjaga gol Piala Presiden masuk menggantikan penjaga gol utama Ifwat Akmal Che Kassim yang cedera di permulaan separuh masa kedua dan melepaskan gol kepada Nik Azli Nik Alias (m-55) serta Danial Ashraff (m-59) menyaksikan Kedah kecundang dua kali berturut-turut di laman sendiri.
Ia menyaksikan Kedah gagal untuk terus memberikan tekanan kepada kelompok tiga pasukan teratas liga – Johor Darul Takzim (32 mata), Pahang (24 mata) dan Perak (23 mata) – dan kekal di tangga keempat dengan mengumpul 21 mata dan bernasib baik untuk tidak dipintas oleh Terengganu FC (21 mata) yang turut kecundang di tangan PKNP FC.
Nidzam tidak mahu terus meratapi kekalahan lalu. Dengan aksi seterusnya, sekali lagi menentang Kelantan di Stadium Darul Aman pada Jumaat ini sedang menanti, Nidzam mahu barisan pemain bangkit dan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan bermain perlawanan di tempat lawan di tempat sendiri.
“Memang ia seharusnya memberi kita sedikit kelebihan, kita tidak perlu travel dan ada sokongan peminat tempatan. Cuma keputusan dalam dua perlawanan lalu di tempat sendiri (tewas kepada Kelantan dan Melaka Utd) membuktikan ia mungkin tidak membantu jika pemain tidak ubah karakter.
“Sebelum lawan dengan kita, Melaka di no.10, manakala Kelantan di no.12, jadi mungkin pemain-pemain terlalu mengambil mudah lawan dan tidak memberikan aksi all-out. Mereka cepat hilang tumpuan dan saya perlu akui kita juga dihukum kerana gagal menyudahkan peluang-peluang yang dicipta.
“Macam ketika lawan Kelantan, kita sepatutnya dapat satu mata tetapi gagal sempurnakan penalti. Jadi perkara-perkara ini perlu diperbaiki,” kata Nidzam.Â
Dalam pada itu, Nidzam berkata dia bersedia memberikan kap pertama musim ini kepada bekas penjaga gol B-23 kebangsaan, Ramadhan Hamid yang menyertai pasukan itu di jendela perpindahan kedua baru-baru ini setelah digugurkan Kelantan, seandainya Ifwat tidak sempat cergas sepenuhnya.
Seorang lagi penjaga gol, Abdul Hadi Hamid juga masih merawat kecederaan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN