Pemandu muda negara, Nazim Azman dan Muizz Musyafa, muncul antara calon pilihan untuk meraih beberapa anugerah utama pada Anugerah MERITUS dipersembahkan oleh Petron yang akan berlangsung di Pusat Penyiaran All-Asia ASTRO di Bukit Jalil di sini malam esok.
Turut menjadi pilihan pada malam gala tersebut termasuk pemandu China Daniel Cao, Kane Shepherd dari Thailand selain bintang muda Belgium Ugo de Wilde.
Malam anugerah gala itu diadakan bagi meraikan pemandu terbaik yang beraksi pada Kejohanan Formula 4 Asia Tenggara FIA (F4 SEA) tajaan PETRON. Musim F4 SEA 2017 berakhir selepas siri perlumbaan selama bulan yang berlangsung di Sepang, Thailand dan Filipina.
Kejayaan menakjubkan memenangi perlumbaan pembukaan F4 SEA yang merupakan acara sokongan pada perlumbaan GP F1 pada Oktober tahun lepas menjadi sandaran terbaik buat bintang muda negara, Nazim, 17, untuk meraih trofi kemenangan pada malam gala berkenaan. Nazim, yang merupakan antara bintang negara yang sedang melonjak pada masa ini, turut bersaing dalam siri perlumbaan di Eropah.
Dalam pada itu, pemandu muda Muizz, 16, melengkapkan saingan 2017 dengan pencapaian yang mantap dan turut tersenarai sebagai calon yang mampu menaiki pentas kemenangan, terutama selepas mengakhiri musim pada Acara 5 di Sepang dengan dua kejayaan podium.Â
“Tentunya, saya amat teruja untuk memulakan musim baru dan buat masa ini, saya sedang menggandakan usaha dan latihan untuk memenuhi sasaran menduduki tiga tempat teratas pada musim akan datang ini,” kata beliau.
Dalam pada itu, Cao, 16, bukan calang-calang pilihan selepas melengkapkan musim pada kedudukan terbaik yang memungkinkan beliau meraih gelaran Juara Keseluruhan sekaligus memahat sejarah sebagai pemandu pertama dari China yang menjulang gelaran perlumbaan F4 FIA.
Shepherd, 17, yang juga merupakan antara pemandu paling aggresif musim ini, turut menjadi pilihan. Pemandu Thailand itu yang telah meraih kejayaan dalam perlumbaan karting termasuk Kejuaraan Max Senior Rotax itu beraksi buat kali pertama dalam F4 SEA pada tahun yang sama.
Pemandu berusia 15 tahun Belgium, De Wilde, yang pernah meraih gelaran Pemandu Rookir Terbaik pada saingan F4 Perancis, juga menjadi sebutan selepas mempamerkan pencapaian mantap untuk meletakkan diri dalam kalangan kelompok teratas pada musim lepas.
Pemandu muda dari Maghribi, Alessandro Ghiretti juga mampu menyaingi dan tidak boleh diketepikan terutama apabila menyaksikan gaya pemanduan beliau yang agresif sebelum ini. Ghitretti berazam memperbaiki pencapaian untuk pergi jauh dalam sukan pemotoran.
“Saya berjaya memenangi satu perlumbaan dan lima kejayaan podium pada musim lepas, Jadi, untuk musim baru ini, saya berazam besar..tetapi sebelum itu, pastinya sesuatu yang menyeronokkan dapat bertemu semula rakan seperjuangan F4 SEA pada malam gala esok,” kata Ghiretti.
Anugerah Gala MERITUS yang dipersembahkan oleh PETRON, pertama kali dianjurkan pada tahun lepas, diadakan selepas berakhirnya musim Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara FIA 2017. Ia bagi menghargai dan memperakui kejayaan dan bakat pemandu muda di rantau ini.
Lapan kategori anugerah disenaraikan termasuk Juara Keseluruhan, Rookie Terbaik, Pemanduan Terbaik, Lap Terpantas, Best Recovery, Bakat Harapan (Up and Coming Talent), Jurutera Terbaik dan Mekanik Terbaik.
“Para pemandu muda ini memberikan seluruh tenaga dan kemampuan mereka untuk menjadikan saingan musim lepas sesuatu yang hebat. Segala ini dapat dilihat menerusi kualiti perlumbaan yang tinggi. Jadi, anugerah ini amat tepat bagi meransang mereka mencapai kejayaan lebih baik dalam usaha menjadi pelumba berkelas dunia,” kata Peter Thompson, Promoter F4 SEA dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Autosport Action (AAA).
Pemandu Indonesia Presley Martono dari Indonesia muncul sebagai pemenang sulung Anugerah Gala MERITUS pada tahun lepas.
SENARAI ANUGERAH
- Juara Keseluruhan
- Rookie Terbaik
- Lap Terpantas (Sirkit Sepang, Buriram, Clark)
- Pemanduan Terbaik
- Best Recovery
- Bakat Harapan
- Jurutera Terbaik
- Mekanik Terbaik