Bekas pemain kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan merasakan Tan Sri Annuar Musa bukanlah individu yang layak untuk dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baru, pada Kongres Tahunan FAM bulan depan.
Dengan tinggal sebulan sahaja lagi sebelum berlangsungnya kongres itu, Annuar telah mengesahkan akan bertanding bersama-sama Dato’ Hamidin Mohd Amin untuk kerusi no.1 badan induk itu yang kosong selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan pada bulan Mac lalu.
Annuar yang turut pernah dicalonkan tahun lalu, tetapi menarik diri pada saat akhir berkata sebab utama yang membuatkannya mahu bertanding kali ini adalah kerana merasakan perwakilan di Kongres FAM nanti perlu diberi peluang untuk memilih dari alternatif yang pelbagai dan terbuka, dalam suasana persaingan yang sihat.
Namun, Wan Jamak yang turut pernah membimbing Negeri Sembilan berkata status Annuar sebagai orang politik serta kegagalan mengurus Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan baik membuktikan dia tidak mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin meskipun mengakui Annuar merupakan seorang yang cukup berpengalaman.
“Memang kalau atas kertas, Tan Sri Annuar membawa bersama ketokohan beliau sebagai bekas menteri dan bekas presiden KAFA, serta bekas timbalan presiden FAM sendiri. Dari faktor pengalaman kedua-dua calon ada kelebihan itu. Tetapi Annuar tidak mempunyai satu aura atau reputasi gah untuk memimpin FAM malah banyak dipalit kontroversi.
“Beliau meninggalkan KAFA ketika persatuan itu tengah nazak dan masih perlukan dia. Mereka kini dibebani hutang-hutang yang sehingga kini belum diselesaikan, jadi kalau di peringkat negeri pun sudah tunggang langgang, macam mana mahu pimpin FAM. Menguruskan badan induk cabaran lebih berat dari uruskan KAFA,” ujar Wan Jamak.
Mengenai Hamidin, Wan Jamak berpendapat beliau mempunyai pakej lengkap untuk menerajui FAM bukan sahaja kerana sudah lama terbabit dengan FAM, tetapi lebih penting bebas kontroversi dan seorang yang sentiasa turun padang dan nempunyai hubungan yang baik dengan pelbagai pihak seperti penganjur Liga Malaysia (MFL), penaja, ahli gabungan, jurulatih, pemain dan juga Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Apapun, Wan Jamak berkata ia terpulang kepada perwakilan kongres untuk membuat keputusan dan dia tidak mempunyai hak untuk merubah keputusan mana-mana perwakilan mengenai siapa pilihan yang terbaik justeru mengharapkan siapa sahaja yang memenangi kerusi itu mampu membawa perubahan kepada bolasepak negara. – OLEHÂ MUHAMMAD AIMAN