‘Sumpahan’ terhadap juara bertahan Piala Dunia sekali lagi berulang, dan Jerman menjadi mangsa terbaru apabila tersingkir awal di peringkat kumpulan setelah dikejutkan dengan kekalahan di tangan Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan F pada Rabu.

Setelah menghidupkan semula peluang mereka menerusi kemenangan 2-1 ke atas Sweden pada minggu lalu, Jerman yang muncul juara dunia buat kali keempat di Brazil empat tahun lalu dilihat sudah berjaya ‘melepaskan diri’ daripada badi kandas di peringkat kumpulan yang dialami tiga daripada empat juara terdahulu.

Namun, seolah sudah tertulis, didatangkan Korea Selatan sekalipun mereka tetap gagal untuk melakar kemenangan dan pada akhirnya menyertai Perancis (2002), Itali (2010) dan Sepanyol (2014) sebagai pasukan yang pulang awal setelah muncul juara pada edisi sebelumnya.

Ini juga merupakan kali pertama pasukan Jerman (atau dahulunya Jerman Barat) gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam tempoh 80 tahun sejak edisi Perancis 1938.

Jerman pada hakikatnya hanya memerlukan kemenangan 1-0 sahaja untuk mara ke pusingan kedua namun satu gol “berhantu” itu tidak kunjung tiba tatkala persembahan yang mereka tunjukkan juga tampak menimbulkan keraguan sejauh mana seriusnya mereka untuk memberi cabaran dalam edisi kali ini.

Korea Selatan yang tewas dua aksi sebelumnya kepada Sweden dan Mexico sebaliknya mencetus sensasi dengan meledak dua gol di masa kecederaan menerusi Kim Young Gwon dan Son Heung Min – kedua-duanya disahkan setelah penelitian semula menerusi Video Assistant Referee (VAR).

Kekalahan menyaksikan Jerman menjadi pasukan berprofil tinggi pertama tersingkir dari Piala Dunia kali ini setelah menduduki tangga tercorot Kumpulan F dengan tiga mata. Korea Selatan pula walaupun gagal meneruskan kemaraan pastinya mempunyai sebab untuk pulang mendabik dada.

Sweden yang menang 3-0 ke atas Mexico mara selaku juara kumpulan manakala Mexico turut mara selaku naib juara – kedua-duanya mengumpul enam mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -