Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara membuka tirai Kejohanan AFF B-19 dengan langkah kanan setelah menewaskan Kemboja 2-0 di Stadium Gelora Joko Samudro, Indonesia pada Rabu.
Skuad bimbingan Bojan Hodak memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-39 menerusi sentuhan pemain PKNS FC, Shivan Pillay Asokan dan mengesahkan tiga mata menerusi jaringan penyerang Kedah Akhyar Rashid pada minit ke-71.
Pasukan remaja negara ketika ini berkongsi tiga mata dengan Kemboja yang terdahulu namun berada di kedudukan kedua Kumpulan B menerusi beza jaringan. Kemboja membelasah Brunei 5-0 dalam aksi pembukaan pada Isnin lalu.
Selepas ini Malaysia akan berdepan Brunei pada Jumaat (6 Julai) disusuli Timor Leste pada Ahad (8 Julai) dan menutup tirai aksi peringkat kumpulan dengan menentang Myanmar (10 Julai) – kesemua perlawanan akan berlangsung di Joko Samudro.
Malaysia perlu menempatkan diri dalam kedudukan dua teratas kumpulan untuk merebut tempat di peringkat separuh akhir. Pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Yangon, pasukan negara membuka mata ramai dengan menunjukkan aksi cemerlang di peringkat kumpulan namun terpaksa berpuas hati dengan pencapaian selaku naib juara setelah tewas kepada Thailand dalam aksi final.
Ia dianggap sebagai kejutan besar memandangkan setahun sebelumnya pada edisi 2016, Malaysia gagal untuk mara melepasi peringkat kumpulan malah turut diaibkan dengan kekalahan 2-3 kepada Timor Leste. – OLEH MUHAMMAD AIMAN