Masalah ketiadaan penyerang yang benar-benar bagus terus terserlah di sebalik Malaysia berjaya melakar kemenangan 1-0 ke atas Fiji dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Khamis.
Tan Cheng Hoe sudah sedia kehilangan penyerang utama Ahmad Hazwan Bakri serta N.Thanabalan kerana kecederaan, Shahrel Fikri baru menyertai kelab Thailand Nakhon Ratchasima dan bintang muda Akhyar Rashid sedang bersama skuad bawah 19 tahun bermain di Kejuaraan AFF B-19.
Zaquan Adha Abdul Radzak yang menjaringkan empat gol ketika menentang Bhutan pula tidak diturunkan kerana belum pulih sepenuhnya dari kecederaan retak tangan menyebabkan Syafiq Ahmad menggalas tanggungjawab sebagai penyerang utama.
Dia membalas kepercayaan dengan meledak jaringan pembukaan tetapi malang menimpa apabila terpaksa dikeluarkan seminit selepas menjaringkan gol tersebut kerana kecederaan, menyaksikan penyerang Kelantan Shafiq Shaharudin pula dibawa masuk.
Shafiq tidak begitu menyerlah dan kemudian dikeluarkan hanya selepas 30 minit beraksi dan digantikan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor namun gagal untuk mencari tambahan jaringan tatkala beberapa peluang dipersiakan.
“Ia bukan mudah untuk menangani situasi ini, kita bergelut di barisan depan, tidak cukup tajam, diburukkan dengan kecederaan sehinggakan saya terpaksa menggunakan pemain yang bukan penyerang tulen (Wan Zack Haikal) di barisan depan.
“Saya ada beberapa bulan yang tinggal sebelum AFF Suzuki untuk mencari solusi. Saya tidak boleh mencari alasan dan perlu kekal positif. Apa yang boleh saya harapkan pemain-pemain yang saya ada ini kerap diturunkan pasukan masing-masing dan menunjukkan peningkatan,” kata Cheng Hoe.
Kemenangan ke atas Fiji yang berada di ranking ke-165 dunia menyaksikan Malaysia buat pertama kalinya melakar dua kemenangan berturut-turut sejak kali terakhir melakukannya pada November 2016. Kemenangan itu cukup penting bukan sahaja untuk mengekalkan moral di tahap terbaik tetapi dapat memperbaiki ranking pasukan negara yang merosot dengan begitu teruk sejak beberapa bulan kebelakangan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN