Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) kesal dengan insiden kekecohan penyokong yang tercetus di Stadium Gelora Delta Sidoarjo selepas Malaysia menewaskan Indonesia dalam aksi separuh akhir Kejuaraan AFF B-19 pada Khamis.
Indonesia tewas 2-3 menerusi tendangan penalti dan penyokong mereka bertindak membuat kecoh dan menyerang pemain Malaysia dengan membaling batu dan botol minuman.
Keadaan tegang itu menyaksikan skuad negara terpaksa menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik persalinan dan hanya keluar dari stadium selepas sejam menunggu keadaan reda.
Malah sebelum perlawanan bermula, mereka juga tidak menghormati nyanyian lagu Negaraku dengan membuat bising dan melaungkan kata-kata kurang sopan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Dato’ Hamidin Amin berkata Wakil Ketua Umum PSSI Joko Driyono telah secara peribadi mewakili PSSI memohon maaf dan berharap kejadian sama tidak lagi berulang.
“Berdasarkan maklumat diterima dari pengurus pasukan Dato’ Ab Ghani Hassan dan pegawai-pegawai pasukan kita di sana, terdapat penyokong Indonesia membaling botol dan batu dari tempat duduk penonton ke arah para pemain B-19 kebangsaan selepas perlawanan iaitu ketika mereka hendak masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan.
“Kekecohan yang berlaku telah menyebabkan pasukan B-19 kebangsaan keluar lewat hampir sejam untuk pulang ke hotel penginapan. Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dikawal pihak berkuasa dan tiada sebarang kecederaan dialami oleh para pemain dan pegawai pasukan B-19 kebangsaan.
“Susulan insiden itu, saya telah menghubungi Ketua Umum PSSI, Joko Driyono. Beliau mewakili PSSI memohon maaf dan berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan B-19 kebangsaan ketika menjalani latihan pada hari ini dan juga ketika di hotel penginapan,” kata Hamidin.
Mengenai tindakan susulan yang akan diambil FAM, Hamidin berkata ia hanya akan diputuskan selepas mendapat laporan daripada Komissioner Perlawanan (MC) dan pengadil.
Malaysia yang merupakan finalis musim lalu akan turun menentang Myanmar dalam aksi final yang berlangsung Sabtu. Myanmar mara ke perlawanan akhir setelah mengejutkan juara bertahan Thailand. – OLEH MUHAMMAD AIMAN