Felda United mengesahkan slot ke saingan Liga Super musim depan selepas melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas tuan rumah, Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.

Tiada masalah buat skuad kendalian B Sathianathan untuk membuka tirai gol seawal minit kelima menerusi penyudah kemas penyerang import dari Brazil, Gilberto Fortunato.

Kedudukan The Fighters yang memburu kejuaraan liga perdana kali kedua semakin selesa apabila giliran Thiago Agusto melakar nama selaku penjaring kedua di minit ke 39.

Ngap Sa Yot bagaimanapun bangkit dengan corak permainan yang lebih kemas untuk merapatkan jurang gol 1-2 selepas Matoe Roskam meledak gol pembukaan Sarawak sebelum tamat separuh masa pertama.

Jaringan tersebut bagaimanapun tidak melemahkan semangat juang The Fighters, sebaliknya anak didik B Sathianathan terus garang menguji kubu Sarawak.

Minit ke 66, Gilberto Valdenesio melengkapkan hari gemilang Felda United dengan gol ketiga untuk pasukan pelawat.

Selepas 18 perlawanan, Felda United terus gah dipersada Liga Perdana dengan 41 mata dan dinobat sebagai juara liga meskipun perlawanan masih berbaki dua perlawanan sebelum tirai musim 2018 ditutup secara rasmi.

Ini adalah trofi Liga Perdana kedua Felda United selepas pertama kali menjulang trofi itu pada 2010.

The Fighters akan berdepan PDRM pada 23 Julai disusuli pertemuan dengan Pulau Pinang lima hari kemudian sekaligus menutup tirai Liga Perdana 2018.

 

- Advertisement -