Kira kira tujuh tahun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diterajui Sultan Ahmad Shah ketika itu memutuskan untuk tidak membenarkan sistem naturalisasi pemain di Malaysia.

Kejayaan skuad senior menjulang trofi Piala AFF pada 2010 disusuli pingat emas di Sukan SEA 2011 mungkin antara faktor keputusan ini dibuat ketika itu.

Namun, saban tahun, prestasi yo yo skuad kebangsaan ditambah dengan kejatuhan ranking yang merupakan salah satu mimpi ngeri FAM meskipun bertukar pucuk pimpinan.

Kini FAM dibawah pimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin mengambil keputusan untuk mengubah pendirian mereka untuk membuka peluang kepada pemain pemain luar beraksi atas tiket pemain naturalisasi.

Datuk Hamidin ketika sesi bersama peminat minggu lalu tidak menolak FAM akan menggunakan sistem ini untuk mengembalikan mutu bolasepak di Malaysia yang dilihat masih tidak menampakkan sebarang perubahan.

Kenyataan ini disokong Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi meskipun tiada lagi perbincangan secara serius dilakukan oleh badan induk bolasepak negara itu.

Tiada perincian mendalam tentang jumlah pemain, syarat syarat dan peraturan yang akan diguna pakai andai pintu bagi pemain naturalisasi dibuka secara rasmi.

Datuk Yusoff semalam menjelaskan, beberapa negara jiran di Malaysia, malah Jepun pernah menggunakan pemain naturalisasi sebelum menggunakan sepenuhnya pemain tempatan.

“Jepun dulu pun guna pemain naturalisasi, tapi tengok mereka berada di mana sekarang? Kita pun tak mungkin terus pakai (pemain naturalisasi). Bila sudah sampai masa dan kita sudah ada pemain skuad pemain tempatan terbaik, kita mungkin tidak perlu lagi pemain naturalisasi.

“Presiden telah mengarahkan untuk diadakan kajian berhubung perkara ini dan ia perlu diperhalusi kerana ada pro dan kontra berhubung perkara ini,”kata Yusoff.

Mentri Belia dan Sukan terdahulu, Khairy Jamaluddin juga menolak penggunaan pemain naturalisasi sebaliknya mahu FAM mencari pelan jangka panjang untuk bolasepak negara daripada menggunakan jalan pintas.

Hakikatnya, samada menggunakan pemain naturalisasi atau sebaliknya, perkara asas yang perlu difikirkan sudah tentu ‘kos’ yang perlu ditanggung pemain pemain tempatan itu sendiri andai pemain naturalisasi digunapakai.

Program pembangunan akar umbi yang seringkali disebut sebut pelbagai pihak termasuk Setiausaha Agung Baru FAM, Stuart Michael Ramalingam perlu diselaraskan dengan lebih efisien.

Mungkin kajian atau pendekatan yang pernah digunakan kira kira lapan tahun lalu dimana skuad elit dan remaja negara mengecapi kejayaan tanpa pemain import.

Apapun keputusan yang bakal dicapai kelak, semoga ia memberi kebaikan untuk semua pihak dan bukan hanya sesetengah individu semata mata.

- Advertisement -