Selepas berjaya melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia buat pertama kali, Felcra FC mencipta satu lagi sejarah apabila menamatkan musim pertama mereka dalam saingan 100PLUS Liga Premier selaku naib juara sekaligus menyambar slot beraksi di Liga Super musim depan.

Pasukan bimbingan Tarchisio Pugliese itu menewaskan Sarawak 2-0 dalam aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada Jumaat, dengan ketua pasukan Shahrom Kalam dan Anselmo Aruda da Silva menjaringkan gol masing-masing pada minit ke-59 dan 85.

Dengan 34 mata, Felcra mengatasi pencabar terdekat MIFA yang turut menang di Kuala Terengganu dengan kelebihan dua mata.

MIFA bimbingan K.Devan terpaksa berpuas hati dengan pencapaian menduduki tangga ketiga setelah jaringan L’Imam Seydi pada minit ke-59 dan Kpah Sherman minit ke-76 membantu mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Terengganu FC II 2-1.

 

 

Kekalahan buat TFC II menyaksikan pasukan itu kekal dengan 17 mata tersingkir ke saingan Liga FAM musim depan.

Sementara itu dalam perlawanan lain, Johor Darul Takzim II menamatkan kempen di tangga keempat setelah membelasah UKM FC 4-0 di Pasir Gudang menerusi jaringan Hafiy Haikal Ismail (m-4), Darren Lok (m-40), Hadi Fayyadh Abdul Razak (m-59) dan Che Rashid Che Halim (m-83).

PDRM pula menamatkan musim di tangga kelima dengan menewaskan Sabah 3-2 di Stadium Uitm Shah Alam.

Sabah menyangkakan mereka sudah berjaya mencuri satu mata apabila bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan Maxsius Musa dan Hector Ramos namun PDRM mengesahkan kemenangan menerusi jaringan minit akhir Shunsuke Nakatake.

Juara Liga Premier, Felda United pula menutup cabaran dengan keputusan seri 1-1 menentang Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan. MUHD AIMAN 

- Advertisement -