Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) nampaknya terus terhimpit apabila diarahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemainnya Noor Hazrul Mustafa berjumlah keseluruhan RM55,000 dalam tempoh 30 hari.

Kegagalan KAFA menjelaskan tunggakan itu akan menyebabkan mereka berdepan tindakan lebih berat apabila kes dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

KAFA diketahui sedang bergelut dan terkial-kial untuk menyelesaikan pelbagai hutang lama antaranya kepada beberapa bekas pemain import termasuklah John Mckain dan Dramane Traore selain tunggakan gaji musim semasa (2018).

Jika semua hutang mereka gagal untuk diselesaikan, adalah diragui sama ada mereka akan lulus dalam permohonan lesen kelab untuk beraksi dalam Liga Premier musim depan. Untuk tahun 2018, perlu diingat permohonan lesen mereka adalah diluluskan bersyarat.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan juga pastinya sedar bahawa dia tidak lagi boleh memberi alasan ini adalah hutang pengurusan lama, kerana sebaik bergelar presiden dia secara langsung bersetuju menanggung semua liabiliti kewangan persatuan itu.

Sementara itu, turut diarahkan untuk menjelaskan hutang dalam tempoh 30 hari atau berdepan tindakan adalah Persatuan Bolasepak Pulau Pinang berjumlah keseluruhan RM377,000 kepada lapan pemainnya iaitu Mafri Balang (RM76,000); Faizat Ghazali (RM48,000); Sani Anuar Kamsani (RM80,000); Rafiudin Roddin (RM60,000); Jafri Firdaus Chew (RM28,000); Shazalee Ramli (RM25,000), K.Reuben (RM40,000) dan Syed Adney Syed Hussein (RM20,000).

ATM pula diarahkan membayar AS$180,000 kepada bekas pemain importnya Abdulafees Abdulsalam manakala PJ Rangers FC dikehendaki membayar pampasan baki kontrak bekas jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris sebanyak RM330,000.

 

 

- Advertisement -