“Bagaimana beliau (Bibi Ramjani) boleh tuduh kami sebagai tidak bertanggungjawab sedangkan dia buat KAFA seperti hak milik peribadi?” itu reaksi dua bekas naib presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim.
Nama kedua-dua mereka sebelum ini diburukkan oleh Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan kerana tindakan mereka meletakkan jawatan dan disifatkan lari dari tanggungjawab pada ketika mereka sepatutnya membantu pasukan yang sedang berdepan kemelut.
Malah, Bibi Ramjani menyatakan dua individu itu tidak menunjukkan kesungguhan yang sama untuk membangunkan bolasepak Kelantan sepertimana ketika melobi untuk mendapatkan jawatan tersebut September tahun lalu.
Namun, enggan nama terus diburukkan dan wujud tanggapan tidak betul, masing-masing membuat kenyataan bersama dan menjelaskan sebab sebenar mereka berundur adalah kerana Bibi Ramjani tidak boleh dibawa bekerjasama dan tawar hati dengan setiap tindakannya yang mentadbir KAFA seperti hak milik sendiri.
Malah, Exco dianggap sebagai tidak wujud, dan langsung tidak dihormati.
“Sejak diberi amanah untuk menduduki jawatan Naib Presiden oleh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) ketika Kongres Tahunan KAFA pada 17 September 2017, kami hanya dipanggil untuk mesyuarat Exco sebanyak tiga kali sahaja.
“(Selepas itu) semuanya dibuat secara solo tanpa membuat keputusan secara konsesus. Paling menyedihkan, Exco dilihat sebagai musuh dalam selimut dan dianggap tidak boleh membantu KAFA.
“Sikap Presiden yang tidak mempedulikan kewujudan kami dan exco-exco bermula dari awal musim lagi ketika membuat perancangan terutama melibatkan soal kewangan tanpa pengetahuan kami,” menurut kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, mereka menyatakan soal dana kewangan dan tajaan tidak dibawa ke Mesyuarat Exco termasuklah beberapa tajaan serta geran tahunan FAM yang diperoleh dan jumlah dana yang sepatutnya atau perlu dibelanjakan pada musim ini.
“Ini sekali gus menyebabkan ada di kalangan exco yang mendahulukan duit dari poket sendiri untuk kebajikan pemain demi memastikan kebajikan mereka terjaga.
“Semua laporan yang tidak lengkap ini hanya dibentangkan pada mesyuarat terakhir ketika pengurusan dan pasukan berada di tahap yang meruncing. Sebagai contoh, kami dimaklumkan perbelanjaan pasukan sebanyak RM4 juta tetapi perincian kewangan tidak dibentangkan secara lengkap dan telus kepada exco.”
Mereka turut mendedahkan bahawa kemuncak krisis pengurusan adalah apabila Bibi Ramjani membuat keputusan sendiri untuk melantik Fajr Ibrahim sebagai Ketua Jurulatih tanpa pengetahuan exco dan memberi kepercayaan penuh kepada Fajer dalam membuat semua keputusan kecuali kewangan.
“Ini sehinggakan Fajer berani masuk campur urusan pentadbiran pengurusan. Ketika itu juga kes pemain berpengalaman seperti Badhri (Radzi), Do Dong Hyun, Morgaro Gomis, Norfarhan (Mohd), serta Amiridzwan Taj yang digantung tidak bertali menjadi perbualan dan isu hangat dalam kalangan exco kerana keputusan dibuat tanpa pengetahuan exco juga.”
Mohd Aizuddin dan Nik Izani turut menyatakan bahawa mereka telah bersetuju untuk membantu Presiden mencari dana kewangan bagi persiapan pasukan musim depan ketika mesyuarat terakhir.
“Namun, hari demi hari Presiden menjadikan KAFA seperti hak milik beliau sendiri sehingga membuatkan kami tawar hati untuk berada di kerusi Naib Presiden dan kami memilih berundur kerana tidak mahu mengkhianati amanah PBJ dan penyokong,” jelas mereka.
Sementara itu, difahamkan akan ada lebih ramai lagi Exco di dalam KAFA yang bakal membuat keputusan sama bagi mendesak Kongres Tahunan Luar Biasa diadakan bagi memilih pucuk pimpinan baru kerana mereka sedar jatuhnya bolasepak Kelantan adalah kerana tersalah memilih pemimpin.
Mungkin segala yang berlaku di kem Kelantan tahun ini boleh dielakkan jika Bibi Ramjani mengetepikan sikap ego dan bekerjasama membentuk pasukan pengurusan yang mantap, namun apa yang terjadi adalah kemelut demi kemelut, kontroversi demi kontroversi dan akhirnya pasukan menjadi ‘korban’ apabila tersingkir ke Liga Premier buat pertama kali selepas 10 musim. – OLEH MUHAMMAD AIMAN