Bintang muda meningkat naik, Hadi Fayyadh Abdul Razak terbang ke Fukuoka lewat malam Ahad untuk menjalani latihan intensif selama enam hari bersama kelab Divisyen Dua Liga Jepun, Roasso Kumamoto.

Pemain berusia 18 tahun itu adalah salah seorang daripada anggota skuad yang mencipta sejarah memenangi Kejuaraan AFF B-19 di Indonesia bulan lalu dan dia mengetepikan panggilan menyertai skuad Sukan Asia 2018 kendalian Dato’ Ong Kim Swee demi menyambar peluang keemasan ini.

Hadi mencuri tumpuan ramai selepas cemerlang menjaringkan empat gol dalam saingan Piala Sanix pada Mac lalu di Jepun dan bertitik tolak dari situ, Yakult, jenama minuman probiotik terkemuka dunia dari negara matahari terbit itu telah berusaha untuk mendapatkan peluang ini buatnya.

Bukan itu sahaja, Yakult turut menaja segala urusan rasmi Hadi dan ayahnya Abdul Razak Abdul Wahab sepanjang berada di sana nanti. Pemain Johor Darul Takzim II itu berpeluang untuk bermain di sana jika berjaya untuk memikat panel kejurulatihan kelab tersebut sepanjang tempoh latihan.

Tetapi dia enggan fikirkan tentang semua itu sebaliknya berazam melakukan yang terbaik untuk meraih sebanyak mungkin pengalaman dan meningkatkan prestasi.

“Saya teruja untuk merasai satu pengalaman baru, saya mahu manfaatkannya sebaik mungkin apatah lagi ia kesempatan terbaik untuk persiapkan diri sebelum beraksi di Kejohanan AFC B-19. Saya berterima kasih kepada Dato’ Ong dan Bojan Hodak (jurulatih B-19 Malaysia) yang sentiasa memahami dan memberikan sokongan, saya tidak akan sia-siakan peluang ini,” kata Hadi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada ketika ditemui Sports 247 sebelum ini menyatakan bahawa mereka bersedia untuk membawa lebih ramai pemain mengembangkan potensi.

“Kita anggap ini sebagai satu permulaan, Malaysia ada ramai pemain berbakat besar. Jika mereka terus diberikan pendedahan dan meraih pengalaman bersama pasukan-pasukan hebat di Jepun, maka bolasepak Malaysia mempunyai masa depan cerah, akan kembali sebagai sebuah pasukan disegani. Kami mahu bantu menjadikannya kenyataan,” kata Hiroshi.

Kenapa Yakult begitu bersungguh mahu membantu bolasepak Malaysia? Mereka sebelum ini sudahpun membentuk kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia, dan banyak terlibat di dalam menaja pasukan remaja negara menyertai pertandingan kompetitif di luar negara.

“Budi yang baik sentiasa dikenang, itu cara orang Jepun menunjukkan penghargaan. Bolasepak Jepun pernah mendapat manfaat dan tunjuk ajar dari Malaysia suatu masa dahulu dan kedudukan kami (Jepun) di peta bolasepak dunia tidak menjadikan kami mendabik dada.

“Kami mahu memberi semula kepada semua yang pernah mengangkat bolasepak Jepun, dan ini satu usaha kecil kami,” ujarnya. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -