Dalam persiapan yang singkat, kehadiran pemain yang dipanggil untuk menggalas tugas ke Sukan Asia 2018 di Indonesia yang tidak menentu, Datuk Ong Kim Swee mungkin sudah mempunyai bayangan awal barisan kesebelasan utama untuk aksi pembukaan kumpulan E menentang Kyrgystan kelak.

Aksi persahabatan antarabangsa menentang Emiriyah Arab Bersatu berakhir dengan noktah kemenangan 2-0 untuk skuad bawah 23 tahun negara sekaligus menjadi suntikan semangat buat pemain dan pengurusan.

Jaringan Safawi Rasid di minit ke 27 dan Akhyar Rashid minit 64 membuktikan Malaysia mempunyai penggempur yang mampu memberi Malaysia samada satu mahu pun tiga mata sepanjang saingan kumpulan E kelak.

“Banyak petanda positif yang kita lihat pada perlawanan ini, tetapi banyak juga yang perlu diperbaiki lagi. Yang penting kita tidak bolos sepanjang perlawanan,”kata Kim Swee.

Malah, gandingan pemain senior, Badrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali dibahagian pertahanan dan tengah membuktikan kombinasi pemain pemain yang baik meskipun tempoh latihan yang singkat.

 

 

Malaysia akan membuka kempen bolasepak peringkat kumpulan E menentang Kyrgystan pada 15 Ogos di Stadium Si Jalak Harupat.

Disebalik kejayaan di Stadium Shah Alam, provokasi yang tercetus khususnya di babak kedua perlawanan berakhir dengan pergaduhan melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan kedua dua pasukan dipenghujung permainan.

Insiden pergaduhan tercetus apabila pemain UAE Mohamed Khalfan Al Harasi berlaga dengan pemain pertahanan negara, Adib Zainuddin.

Pergaduhan berlarutan dan melibatkan barisan pemain simpanan dan staff kejurulatihan kedua dua pasukan, namun keadaan berjaya dikawal pihak keselamatan.

Turut hadir menyaksikan perlawanan, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam 

- Advertisement -