Skuad hoki negara boleh dikatakan mendapat laluan mudah di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 apabila diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Pakistan, Bangladesh, Kazakhstan, Thailand dan Oman.
Di atas kertas memang hanya Pakistan sahajalah ancaman utama namun itu bukan alasan untuk memandang rendah keupayaan dan kekuatan pasukan negara lain.
Penyerang Malaysian Tigers, Fitri Shaari menegaskan antara lawan yang perlu turut diberi perhatian adalah Bangladesh yang semakin menunjukkan peningkatan sejak dibimbing oleh bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Iman Gobinathan.
Iman merupakan penolong kepada Dhaarma Raj Abdullah pada 2015 sebelum dilantik membimbing skuad hoki dalam dewan wanita negara untuk menghadapi Sukan SEA 2017.
“Bangladesh antara negara Asia yang ketara menunjukkan peningkatan dan tidak mustahil mereka boleh melakar kejutan. Jika kita fikir Pakistan sahaja sebagai ancaman, ianya silap. Kalau lihat ketika aksi persahabatan tempoh hari Bangladesh hanya tewas tipis 2-3 kepada Korea Selatan.
“Lagipun Iman pastinya tahu serba-serbi kekuatan dan kelemahan pemain Malaysia berbanding kita yang mungkin tidak tahu sepenuhnya tentang Bangladesh. Dalam masa sama kita perlu juga menghormati tiga lagi lawan dan elakkan membuat kesilapan.
“Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, saya lihat peluang untuk kita menang emas cerah, yang penting kita perlu memanfaatkan peluang sebaik mungkin, memberi komitmen dan fokus 100 peratus untuk cuba menamatkan aksi kumpulan selaku juara supaya dapat mengelak bertemu India yang dijangka muncul juara Kumpulan A di separuh akhir nanti,” ujar Fitri.
Skuad Malaysian Tigers bimbingan Stephen Van Huizen akan membuka tirai aksi dengan menentang Kazakhstan pada 20 Ogos, diikuti Thailand (22 Ogos), Bangladesh (24 Ogos), Pakistan (26 Ogos) dan yang terakhir Oman (28 Ogos).
Sementara itu, juara bertahan India yang juga pasukan nombor satu Asia diundi bersama-sama juara empat kali Korea Selatan, Sri Lanka, Hong Kong dan tuan rumah Indonesia.
Malaysia memburu pingat emas buat pertama kali dalam sejarah penyertaan di Sukan Asia setelah begitu hampir untuk melakukannya pada edisi 2010 di New Delhi apabila tewas aksi final kepada Pakistan dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak – ia kekal sebagai pencapaian terbaik skuad hoki negara di pentas Sukan Asia.
Pemenang pingat emas di Sukan Asia akan mendapat slot automatic untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020. MUHD AIMAN