Lebih 4,000 atlet, pegawai dan jemputan menyertai upacara Malam Selamat Datang Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Bandar Sukan Jakabaring (JSC) di sini, malam tadi.
Berpakaian seragam kontinjen masing-masing, kesemua mereka berkumpul di Stadium Gelora Sriwijaya, sambil menyaksikan secara langsung upacara pembukaan rasmi Sukan Asia ke18 melalui skrin gergasi.
Majlis perasmian itu diadakan penuh gilang-gemilang di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) di Jakarta, dengan diisytiharkan dibuka secara rasmi oleh Presiden Indonesia Joko Widodo
Atlet dan jemputan yang menghadiri Malam Selamat Datang itu, disajikan dengan persembahan daripada artis tempatan dan antarabangsa, selain diadakan pelbagai aktiviti serta pertunjukan bunga api.
Sejumlah 96 atlet terdiri daripada 50 atlet lelaki dan 41 wanita, menggalas cabaran Malaysia di Palembang, Sumatera Selatan.
Sepak takraw, tenpin boling, menembak, ‘roller sports’, bola tampar pantai, bola sepak wanita dan triathlon adalah antara sukan yang dipertandingkan di JSC.
Lebih 11,000 atlet dan kira-kira 5,000 pegawai dari 45 negara menyertai temasya Sukan Asia kali ini yang berlangsung sehingga 2 Sept.
— BERNAMA