Impian Chan Peng Soon/ Goh Liu Ying untuk menamatkan penantian pingat buat Malaysia dalam acara bergu campuran du Sukan Asia berkubur hari ini selepas terkandas di pusingan kedua.
Gandingan yang pernah menjulang pingat perak di pentas Olimpik ini dikejutkan ke atas gandingan bukan pilihan dari Hong Kong, Lee Chun Hei/Chau Hoi Wah.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua dua bergu, kelebihan memihak Peng Soon dan Liu Ying yang menang tiga daripada empat pertemuan mereka.
Namun, cerita berbeza di Sukan Asia hari ini apabila bergu negara bergelut untuk mencari permainan yang optimum ke atas Lee Chun Hei dan Chau Hoi Wah.
Pertemuan terakhir pada 2016 di Terbuka Australia, Chun Hei dan Hoi Wah tampak sudah mampu membaca gerakan bergu campuran negara dan ia dibuktikan apabila Hong Kong mendahului set pertama selepas menang 21-17.
Peng Soon dan Liu Ying terus bergelut apabila seringkali melakukan unforce error selain komunikasi yang lemah untuk memberikan mata mudah kepada lawan.
Namun, tuah memihak Malaysia apabila Peng Soon dan Liu Ying menang 21-19 sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.
Kesilapan demi kesilapan terus dilakukan Liu Ying dan Peng Soon tatkala Chun Hei dan Hoi Wah mencari ruang terbuka untuk memerangkap bergu negara.
Pertarungan berlanjutan sehingga kedudukan terikat 20 sama, namun giliran tuah memihak Hong Kong apabila Lee Chun Hei/Chau Hoi Wah menang 28-26 untuk mengesahkan slot ke suku akhir.
Sandaran kini terletak di bahu Goh Soon Huat/Shevon Lai Jamie yang berdepan satu lagi gandingan Hong Kong, Tang Chun Man/Tse Ying Suet
Malaysia gagal memenangi sebarang pingat dalam acara bergu campuran sejak kali terakhir Mohd Fairuzizuan Tazari/WOng Pei Tty memenangi gangsa ketika di Sukan Asia 2006 di Doha.
Pingat emas pernah dimiliki oleh kem badminton negara dua kali berturut turut ketika Sukan Asia berlangsung di Bangkok pada 1966 dan 1970.