Bergu lelaki negara, Ong Yew Sin/ Teo Ee Yi membuktikan mereka masih mempunyai banyak lagi kejutan yang mampu dilakar selepas mengesahkan slot ke suku akhir hari ini.
Meskipun berdepan gandingan terbaik dunia dari Jepun, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda, Ong dan Teo tidak menampakkan jurang ranking dan pengalaman sebagai perkara yang perlu dijadikan keutamaan.
Sebaliknya, pertemuan sulung kedua dua bergu ini menjadi milik Ong Yew Sin/Teo Ee Yi apabila hanya memerlukan 38 minit untuk mengesahkan slot ke suku akhir dengan kemenangan straight set 21-14, 21-17.
Ong Yew Sin/Teo Ee Yi akan berdepan pemenang diantara wakil tuan rumah, Fajar Alfian/Muhd Rian Ardianto dengan bergu Korea Selatan, Kim Won Ho/Seo Seung Jae.
Namun, impian kejurulatihan untuk menyaksikan satu lagi kejutan tidak kesampaian apabila wakil tunggal perseorangan negara, Lee Zii Jia tumpas kepada pilihan ketiga dari Korea Selatan, Son Wan Ho.
Lee Zii Jia tumpas straight set 11-21, 17-21 dalam masa 39 minit sekaligus tiada wakil bagi acara perseorangan, bergu wanita dan bergu campuran yang meneruskan cabaran selepas tewas kepada lawan masing masing.
Malaysia masih mempunyai satu lagi wakil dalam acara bergu lelaki, Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang akan turun beraksi lewat petang ini.
V Shem dan Wee Kiong dijangka tidak berdepan masalah untuk ke suku akhir kerana dijadual bertemu pasangan dari Nepal, Bikash Shrestha/Nabin Shrestha.