Sebelum ini arena bolasepak tempatan gempar apabila Paolo Rangel diketepikan Kedah kerana ingkar arahan jurulatih. Dia bagaimanapun diturunkan semula beraksi berikutan pengurusan merasakan dia perlu bermain kerana dibayar gaji tinggi.
Kini pengendali Felda United B.Sathiananthan pula bakal mengambil tindakan sama ke atas tiga pemain tonggaknya kerana tidak mengikut arahan ketika tewas 0-1 kepada PKNS FC dalam aksi Piala Malaysia pada Selasa.
Bagi Sathiananthan, tiada tolak ansur kepada pemain yang merasakan diri sudah cukup bagus dan mula ‘besar kepala’ dengan menganggap diri lebih bagus daripada jurulatih.
Justeru, Sathia yang juga bekas jurulatih kebangsaan menyatakan dia berkemungkinan besar tidak akan lagi menyenaraikan tiga pemain itu di dalam kesebelasan utama mahupun senarai 18 pemain bagi baki aksi musim ini.
Bagaimanapun Sathia memilih untuk tidak mendedahkan siapa tiga pemain yang dimaksudkan.
“Ada pemain merasakan mereka lebih bagus dari jurulatih, tiada tempat dalam pasukan buat pemain seperti itu. Saya bersedia untuk mempertaruhkan pemain muda bagi mengisi tempat mereka.
“Sebelum ini saya telah memberi peluang kepada Zahril (Azri Sabri), pemain skuad bawah 19 tahun dan dia menunjukkan prestasi cemerlang. Ada lima lagi pemain muda yang mana saya berani memberikan mereka peluang di dalam skuad utama,” ujar Sathiananthan dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam pada itu, kekalahan kepada PKNS FC bimbingan Datuk K.Rajagobal di gelanggang sendiri di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka itu menyaksikan Felda terlepas peluang mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas Kumpulan B.
Dengan tujuh mata mereka menerajui kumpulan hanya menerusi beza jaringan ke atas PKNS FC yang turut mengumpul tujuh mata manakala Melaka sedang menghimpit rapat di kedudukan ketiga dengan enam mata.
Sathianathan turut berpendapat bahawa pasukannya ketika ini lebih selesa untuk bermain di gelanggang lawan berbanding di STAR kerana kesukaran membiasakan diri dengan rumput tiruan.
“Terus terang saya katakan bermain di padang rumput tiruan ini menyusahkan kita. Walaupun kita berlatih di padang rumput tiruan, tetapi rumput tiruan di tempat lain adalah berbeza. Pemain-pemain seolah takut bermain di tempat sendiri malah rekod kita lebih baik di tempat lawan,” kata Sathiananthan.
Aksi selepas ini bagi Felda United adalah menentang PDRM pada Sabtu di STAR dan kemudiannya aksi terakhir kumpulan menentang Melaka di tempat lawan pada 15 September. MUHD AIMAN