Pemeriksaan pencahayaan lampu limpah Stadium Manjung di sini akan dijalankan esok (hari ini) bagi memastikan standard pencahayaan mencukupi untuk digunakan pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.
Pengerusi Jawatankuasa SUKMA Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata pemeriksaan akan dilakukan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk memastikan ia mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Kita telah mula memasang lampu limpah sejak Khamis lalu dan membuat sedikit pelarasan terhadap pencahayaan sebelum diperiksa PAFA.
“Kebanyakan perlawanan bolasepak akan berlangsung pada waktu malam dan kita amat menitikberatkan tahap serta kualiti pencahayaan lampu limpah bagi memastikan perjalanan perlawanan berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas perasmian Bilik Gerakan SUKMA ke-19 Perak di Pejabat Daerah dan Tanah daerah Manjung oleh Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing.
Projek menaik taraf stadium tersebut yang merupakan salah satu venue bagi acara bola sepak pada SUKMA 201 menelan kos sebanyak RM16 juta dengan menambah kapasiti penonton dari 5,000 sehingga 12,000.
Selain itun Mohamad Fariz yang juga Pegawai Daerah Manjung berkata persiapan bagi menempatkan hampir 1,500 atlet dari seluruh negara yang terlibat dalam tiga jenis sukan iaitu bolasepak, futsal dan pelayaran di daerah Manjung siap sepenuhnya.
Katanya kesemua atlet tersebut akan menginap di Kolej Perikanan Malaysia Lumut dan Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut sepanjang kejohanan yang akan berlangsung 12 hingga 22 Sept ini.
“Setakat ini kita telah melantik hampir 300 pegawai, urusetia dan sukarelawan bagi memastikan perjalanan serta segala perancangan semasa SUKMA berlangsung dalam keadaan terkawal dan berjalan dengan rapi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Hanif berkata pihaknya akan memastikan aspek keselamatan pada tahap paling maksimum dan menyediakan segala kemudahan termasuk tempat letak kenderaan sepanjang kejohanan.
— BERNAMA