Skuad futsal lelaki Pahang mempunyai kekuatan diperlukan untuk memenangi pingat emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 yang sedang berlangsung di Perak.
Keyakinan itu disuarakan ketua pasukan, Ahmad Harith Naim Mohd Nasir yang menekankan betapa skuad tok gajah itu bersemangat tinggi mahu memperbaiki pencapaian memenangi pingat gangsa empat tahun lalu.
Pada edisi 2013 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Pahang tewas 4-6 kepada Pulau Pinang di separuh akhir dan kemudiannya akur pulang dengan gangsa setelah menewaskan Johor 10-5 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
“Ketika itu kita mempunyai sebuah pasukan yang mantap, abang saya (Mohd Hanafi) juga salah seorang anggota skuad tersebut tetapi bukan rezeki kita walaupun sudah begitu hampir. Saya mahu tebus kegagalan abang saya dan saya percaya rakan sepasukan juga bertekad mahu melakukannya,” kata Harith Naim yang juga pemain kebangsaan.
Walaupun baru berusia 18 tahun, Harith Naim adalah salah seorang tonggak utama pasukan Kuantan Rangers FC dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK). Dia merupakan penjaring kedua terbanyak pasukan itu dalam LFK dengan tujuh gol.
Selain Harith Naim, Pahang turut diperkuatkan enam lagi pemain dari Akademi Kuantan Rangers iaitu Afiq Safwan Che Hassan, Zainul Zahin Sinuan, Mahadir Harahap Khairudin, Imran Syamim Saifullah, Izudin Abdul Rahman dan Ahmad Haziq Irsyad Abu Bakar.
Pahang bimbingan Yazeed Hamzah akan turun menentang juara bertahan Pulau Pinang dalam aksi pembukaan Kumpulan D pada Ahad (9 September) dan kemudiannya Terengganu pada Jumaat (14 September).
“Kita tidak boleh lakukan kesilapan dalam aksi pertama dan ianya penting untuk bermula dengan langkah kanan. Kita tidak boleh gentar dengan status Pulau Pinang selaku penyandang emas. Kita perlu buktikan kita juga bersedia dalam segala aspek,” tambahnya.
Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga futsal dipertandingkan di pentas SUKMA – Johor merupakan juara sulung pada 2011 setelah menewaskan Negeri Sembilan dalam aksi final manakala pada edisi 2014 di Perlis dan Sarawak 2016, futsal tidak dipertandingkan.
Sebanyak 13 pasukan mengambil bahagian dalam edisi kali ini yang berlangsung di Arena Sukan Tertutup Manjung dengan hanya Kelantan sahaja yang tidak menghantar penyertaan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN