Pengendali Perak, Mehmet Durakovic beranggapan peluang untuk pasukannya meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia 2018 masih terbuka luas di sebalik kegagalan untuk mendapatkan bekalan dari aksi pertama di gelanggang sendiri pada Selasa lalu.
Aksi suku akhir pertama di Stadium Ipoh menyaksikan Perak sekadar mampu merekodkan keputusan seri tanpa jaringan sekaligus yang sekaligus melebarkan rekod tanpa kemenangan ke atas PKNS kendalian Datuk K.Rajagobal Ā kepada lima perlawanan.
Namun Mehmet berpendapat tidak ada sebab untuk panik dan percaya nasib pasukannya akan lebih baik apabila bertandang ke Stadium Shah Alam untuk aksi timbal balik pada Ahad nanti.
“Ia satu kerugian apabila kita gagal menang aksi pertama di tempat sendiri tetapi pemain sudah mencuba, mencipta peluang dan melakukan asakan namun PKNS bertahan dengan baik.
āMasih ada 90 minit lagi di Shah Alam, jadi peluang belum tertutup. Mungkin kita akan lebih bertuah di gelanggang itu nanti,” ujar Mehmet.
Sebagai rekod, Stadium Shah Alam sememangnya mempunyai banyak kenangan manis buat pengendali Perak, Mehmet Durakovic ā di gelanggang keramat itulah Mehmet menjulang Piala Malaysia sebagai pemain pada 1996 dan selaku jurulatih pada 2015, kedua-duanya bersama Selangor.
Dalam pada itu, tatkala barisan depan diketuai Gilmar Silva kurang menyengat dan menerima kritikan hebat penyokong, Mehmet memberikan pujian kepada barisan pertahanannya yang telah beraksi dengan cukup cemerlang walaupun mempertaruhkan sepenuhnya kudrat tenaga tempatan iaitu Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Idris Ahmad dan Firdaus Saiyadi.
“Saya tidak dapat menurunkan Jad (Nouredinne) kerana dia demam tetapi Idris telah menjalankan tanggungjawab dengan begitu baik. Begitu juga dengan Firdaus (Saiyadi) yang menggantikan Nasir Basharudin, masing-masing membalas kepercayaan.yang diberikan,” tambah Mehmet.
Musim lalu Perak mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum dikecewakan Johor Darul Takzim manakala kali terakhir mereka layak ke final adalah pada 2007.
Kali terakhir mereka menjulang trofi Piala Malaysia pula adalah pada pada 2001 dengan menewaskan Terengganu dalam aksi final. – OLEH MUHAMMAD AIMAN