Kelantan Warriors mengetepikan kecewa tewas aksi pertama kepada PDRM Defenders dengan bangkit melakar kemenangan ke atas pendatang baru, Melaka Titans dalam aksi Sepaktakraw League (STL) Premier 2018 yang berlangsung Sabtu.
Jurulatih pasukan dari pantai timur itu, Roslan Ismail melakukan pertukaran pada barisan pemain apabila menurunkan Farid Aziz sebagai tekong menggantikan Hisyam Mat untuk bergandingan dengan Aidil Aiman Azwawi dan Yuslie Jusoh.
Percaturan itu tidak mengecewakan apabila Kelantan Warriors yang menduduki tempat keempat STL Premier musim lalu tampil bertenaga untuk mengesahkan kemenangan 2-0 (21-16, 21-16) ke atas trio Sahidan Ali-Hasif Yusof-Asyraaf Zawawi.
Tatkala Kelantan Warriors lega untuk meraih kemenangan pertama, bagi Melaka Titans pula ia merupakan kekalahan kedua setelah turut kecundang kepada Penang Black Panthers dalam aksi pertama pada Jumaat.
Sementara itu, Penang Black Panthers diketuai tekong kebangsaan Syahir Rosdi tidak bermasalah untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan mengetepikan tentangan PDRM Defenders 2-0 (21-16, 21-15) dan kekal sebagai pendahulu awal saingan.
Terengganu Turtles pula gagal meneruskan momentum kemenangan apabila kecundang di tangan ATM Guardians. Trio Zulkifli Razak-Kamal Shafie-Muzhafar Daimin tewas 0-2 (12-21, 15-21) kepada ATM Guardians yang diketuai perejam veteran, Khairudin Adenan.
Dalam aksi lain yang berlangsung awal, naib juara musim lalu KL Thunder mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Perak Bison 2-1 (21-14, 15-21, 21-18). MUHD AIMANÂ
Keputusan (6 Oktober) :
KL Thunder mng Perak Bison [2-1 : 21-14, 15-21, 21-18]
ATM Guardians mng Terengganu Turtles [2-0 : 21-12, 21-15]
Penang Black Panthers mng PDRM Defenders [2-0 : 21-16, 21-15]
Kelantan Warriors mng Melaka Titans [2-0 : 21-16, 21-16]
Jadual (7 Oktober, bermula 5 petang) :
Melaka Titans lwn PDRM Defenders
Johor Tigris lwn Kelantan Warriors
Penang Black Panthers lwn Terengganu Turtles
Perak Bison lwn Selangor Pistons