Setelah menang dua aksi terakhir pusingan pertama dan berjaya menempatkan di kelompok empat pasukan teratas Sepaktakraw League (STL) Premier 2018, Kelantan Warriors tidak mahu rentak positif itu disentap.
Pasukan dari pantai timur itu akan menyambung aksi dalam minggu kelima saingan STL Premier dengan menentang Johor Tigris pada Jumaat yang juga merupakan aksi pertama pusingan kedua bagi mereka.
Walaupun berkeyakinan rentak positif dapat diteruskan, jurulatih Roslan Ismail mengakui kesukaran untuk pemainnya berada pada tahap terbaik pada setiap masa adalah isu paling besar perlu ditangani.Ā
āKetika menewaskan Perak Bison minggu lepas saya lihat prestasi pemain saya ada menurun, mereka nampak bergelut terutama Naim Izani dan saya terpaksa membuat pertukaran.
āSemua pemain saya bermain seolah-olah seperti kurang bersedia sedangkan ketika latihan nampak semuanya lancar tetapi apabila turun ke gelanggang ianya jadi lain. Mungkin juga kerana kita terlalu inginkan kemenangan maka mereka jadi tertekan.
āDalam masa sama, ini sebenarnya berkaitan dengan faktor kepenatan kerana mengharungi perjalanan jauh dari Kelantan. Kadang-kadang pada pagi perlawanan itu baru kita sampai dan pemain tidak cukup rehat. Apabila bermain fokus mereka terganggu.
āSaya sudah berbincang dengan pemain dan pegawai mengenai perkara ini, jadi pemain akan datang awal pada malam sebelum perlawanan dan ada masa untuk rehat. Saya berharap ini dapat membantu kita bermain dengan lebih positif di pusingan kedua,ā kata Roslan.
Sepertimana Kelantan Warriors, Johor Tigris yang mendapat semula sentuhan pemain kebangsaan Noraizat Nordin dalam regu utama turut melakar dua kemenangan pada minggu keempat.
Ia sekaligus menyaksikan mereka memperbaiki kedudukan dengan melonjak ke tangga kelima justeru pertembungan kedua-dua pasukan menjanjikan saingan sengit dan menarik untuk disaksikan tatkala masing-masing tidak mahu tercicir daripada memberikan tekanan kepada tiga pasukan teratas.
Selepas menentang Johor Tigris, Kelantan Warriors akan menentang Melaka Titans pada Sabtu disusuli PDRM Defenders pada Ahad.
Sementara itu, pendahulu STL Premier Penang Black Panthers pula akan membuka saingan minggu kelima dengan menentang PDRM Defenders pada Jumaat disusuli Terengganu Turtles pada Sabtu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
Jadual minggu kelima STL Premier : Ā
Ā
2 November (Jumaat, bermula 5 petang)Ā
ATM Guardians lwn Terengganu Turtles
Perak Bison lwn KL Thunder
Penang Black Panthers lwn PDRM Defenders
Kelantan Warriors lwn Johor Tigris
3 November (Sabtu, bermula 5 petang)
Melaka Titans lwn Kelantan Warriors
Johor Tigris lwn KL Thunder
Selangor Pistons lwn Perak Bison
Terengganu Turtles lwn Penang Black Panthers