Bermula dari edisi 2008 hinggalah ke 2016, penyerang sensasi Thailand Teerasil Dangda telah membuat empat penampilan di pertandingan Piala AFF Suzuki, dia hanya terlepas bermain di edisi 2014.
Sepanjang penampilannya itu, Dangda telah menjaringkan keseluruhan 15 gol dan menariknya dalam kesemua edisi yang dia menjaringkan gol, dia muncul penjaring terbanyak pertandingan.
Pada 2008, Dangda menjaringkan empat gol dan berkongsi kedudukan teratas carta penjaring bersama Agu Casmir (Singapura) dan Budi Sudarsono (Indonesia); pada 2012 dia menjaringkan lima gol dan pada 2016 pemain yang kini bermain di Liga Jepun itu menjaringkan enam gol.
Dangda tidak menjaringkan gol pada edisi 2010 yang mana Thailand tersingkir seawal peringkat kumpulan justeru apabila namanya ‘hilang’ dari senarai 23 pemain yang membawa cabaran di Piala AFF Suzuki, ada tanggapan bahawa Thailand mungkin hilang sedikit ketajaman di barisan depan.
Begitupun, Adisak Kraisorn memerlukan hanya satu perlawanan untuk menyamai jumlah jaringan Dangda pada edisi 2016 apabila meledak enam jaringan ketika menewaskan Timor Leste 7-0.
Penyerang Muangthong United itu meledak enam jaringan dari enam percubaan sekaligus membuktikan betapa dia mempunyai sentuhan pemusnah didamba penyokong.
Ketiadaan Dangda sudahpun ditutupi, tetapi dengan masih ada tiga perlawanan peringkat kumpulan untuk diharungi, Adisak Kraisorn masih ada satu pencapaian lain untuk diburu.
Ini kerana tiada pemain Thailand yang pernah menjaringkan lebih daripada tujuh gol dalam satu edisi pertandingan Piala AFF sejak Netipong Srithong-In melakukannya ketika edisi sulung 22 tahun lalu pada 1996, termasuklah Dangda sendiri.
Ini bermakna, Adisak Kraisorn bukan sahaja dalam laluan terbaik untuk memenangi anugerah kasut emas penjaring terbanyak, tetapi sekiranya dia berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya dua lagi gol pada edisi kali ini, dia akan memahat sejarah baru sebagai pemain Thailand yang menjaringkan paling banyak gol dalam satu edisi Piala AFF.
Malah jika sentuhan sama ditunjukkan ketika menentang Timor Leste dapat diulangi, ianya tidak mustahil pemain ini akan dapat mengatasi jumlah 10 gol dijaringkan pemain Singapura, Noh Alam Shah pada edisi 2007.