Harimau Malaya mungkin mampu menarik nafas lega untuk seketika tatkala giat menjalani persiapan menjelang perlawanan terakhir kumpulan A menentang Myanmar Sabtu ini.
Keputusan yang terhasil di Yangon dimana pendahulu kumpulan, Myanmar terikat tanpa jaringan dengan Vietnam seakan akan menyuntik semangat juang Malaysia yang terdesak memerlukan kemenangan.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, Malaysia hanya dibezakan dengan satu mata dengan dua pasukan teratas, Vietnam dan Myanmar.
Kesemua pemain dan pegawai meneliti perlawanan kedua dua pasukan untuk menilai kemampuan dan kelemahan yang dapat dikesan.
Bagi Tan Cheng Hoe, gambaran siapa yang perlu diberi perhatian, corak permainan Myanmar dan formula yang diperlukan ketika 90 minit terakhir di Bukit Jalil Sabtu ini memerlukan penelitian secara mendalam.
“Kita tahu bahagian serangan daripada pemain 11 (Lwin Maung Maung, 10 (Aung Thu) dan 16 (Aung Si Thu). Mereka ada semangat juang yang tinggi, komited dan ada keinginan untuk menang yang tinggi ketika bertahan menyerang.
“Kita perlu pastikan kita tidak buat kesilapan yang terlalu mudah dan boleh akibatkan dibolosi gol. Yang lain saya rasa pemain pemain sudah tahu sedikit sebanyak selepas meyaksikan perlawanan Vietnam Myanmar semalam,”kata Cheng Hoe
Malaysia juga menghantar wakil kejurulatihan ke Yangon untuk menyaksikan sendiri perlawanan Myanmar dan Vietnam serta menganalisa corak permainan lawan.
Cheng Hoe juga tidak menolak corak permainan yang berbeza mungkin dipamerkan Myanmar yang hanya memerlukan sekurang kurangnya seri untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.
“Kita dapat maklum balas daripada jurulatih S Balachandran dimana serangan balas yang cukup bahaya dan berkesan.
“Dari segi pertahanan taktikal displin memang cukup tinggi lah. Kita dapat lihat beberapa kali Vietnam cuba untuk menjaringkan gol tetapi tidak mampu dibolosi. Kita kene bersedia mungkin Myanmar kali ini akan lebih banyak bertahan daripada menyerang,”katanya lagi.
Diatas kertas, Vietnam yang akan berdepan Kemboja mungkin menjadi pilihan untuk muncul juara kumpulan A, namun, Kemboja yang sudahpun tersingkir awal pastinya tidak mahu menamatkan perjuangan dalam Piala Suzuki AFF dengan rekod yang buruk.
Andai Vietnam tewas dalam aksi terakhir kumpulan, Malaysia berpeluang untuk memintas sekaligus muncul pendahulu kumpulan A dan mengelak kemungkinan besar untuk bertemu Thailand di peringkat separuh akhir nanti.KU MOHD LUFTI