Stadium Nasional Bukit Jalil belum tentu boleh menjadi gelanggang bertuah buat Harimau Malaya.
Demikian pandangan ketua jurulatih Myanmar, Antoine Hey yang menganggap bermain di tempat sendiri tidak menjanjikan sebarang kelebihan buat Malaysia tatkala kedua-dua pasukan bersedia untuk berentap dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki pada Sabtu.
Antoine juga menekankan bahawa barisan pemainnya tidak gentar untuk berhadapan dengan lebih 40,000 penyokong yang dijangka hadir membanjiri stadium.
“Kami mahu stadium dipenuhi dengan penyokong seramai mungkin. Lebih ramai, lebih bagus dan kami tak takut dengan penyokong yang ramai. Mereka bukannya boleh mendekati padang pun.
“Di atas padang ia adalah 11 menentang 11 dan itu yang paling penting,” kata Antoine dalam sidang media pra perlawanan pada Jumaat.
Myanmar ketika ini sedang menerajui Kumpulan A dengan tujuh mata dan hanya memerlukan seri untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir manakala bagi Malaysia, mereka tiada pilihan selain memburu kemenangan.
Antoine bagaimanapun menjelaskan pasukannya tidak berkunjung ke Kuala Lumpur sekadar untuk mendapatkan satu mata dan berkeyakinan tinggi mereka boleh pulang dengan kemenangan.
“Tiada pasukan yang mampu bertahan dan bermain hanya untuk mendapatkan satu mata. Mentaliti yang saya terapkan pada pemain adalah bermain untuk menang. Saya berpendapat kita boleh melakukannya kerana setelah melihat kepada tiga perlawanan lalu, kita dapati Malaysia tak mampu mencipta peluang walaupun menguasai bola.
“Mereka agak bergelut ketika bermain (menentang Kemboja) di atas padang tiruan. Namun mereka tetap mempunyai kualiti dan kami perlu berhati-hati.” Ujar pengendali kelahiran Jerman itu.
Mengenai sama ada pemain-pemainnya kepenatan untuk beraksi dalam empat perlawanan berturut-turut berbanding Malaysia yang mendapat rehat hampir seminggu, Antoine menepis tanggapan itu.
“Saya juga telah merehatkan pemain-pemain untuk memastikan semua orang bersedia pada perlawanan ini kerana kami tahu ianya perlawanan yang penting. Saya tak fikir menghadapi empat perlawanan dalam masa 12 hari merupakan satu masalah bagi kami.
“Anda juga boleh katakan Malaysia telah hilang momentum setelah berehat selama seminggu, dan kami masih mengekalkannya,” tambahnya lagi. MUHD AIMANÂ