Bukan sahaja pemburuan untuk gelaran juara menuju ke pengakhiran dramatik, tetapi persaingan untuk menutup kalendar Sepaktakraw League Premier (STL Premier) 2018 di kedudukan enam teratas yang menghadiahkan tiket beraksi di STL Champions Cup juga nampaknya menjanjikan penyudah menarik.
Dengan empat pasukan iaitu ATM Guardians, Penang Black Panthers, KL Thunder dan Johor Tigris sudahpun mengesahkan tempat mereka, baki dua slot menjadi rebutan antara Perak Bison, Kelantan Warriors, PDRM Defenders dan Terengganu Turtles.
Lebih menarik aksi terakhir pada Ahad akan menemukan Kelantan Warriors dengan Terengganu Turtles manakala Perak Bison pula berdepan PDRM Defenders, sekaligus bermakna pemenang dua aksi itu akan melengkapkan senarai enam pasukan teratas.
Dalam aksi yang berlangsung Sabtu, Kelantan Warriors terlepas peluang untuk mengesahkan tempat lebih awal apabila tewas 0-2 (17-21, 21-23) kepada Perak Bison manakala PDRM Defenders pula menghidupkan peluang mereka setelah mudah membenam Johor Tigris 2-0 (21-9, 21-13).
Terengganu Turtles pula memastikan mereka masih kekal dalam persaingan setelah bangkit daripada kekalahan set pertama untuk membenam KL Thunder 2-1 (16-21, 22-20, 21-18).
Perak Bison, Kelantan Warriors dan PDRM Defenders terikat dengan 16 mata manakala Terengganu Turtles pula mengumpul 14 mata.
Enam pasukan STL Premier dan dua pasukan STL Divisyen Satu akan beraksi di STL Champions Cup yang dijadual berlangsung dari 7 â 16 Disember 2018.
Keputusan :
Perak Bison mng Kelantan Warriors (2-0 : 21-17, 23-21)
Terengganu Turtles mng KL Thunder (2-1 : 16-21, 22-20, 21-18)
PDRM Defenders mng Johor Tigris (2-0 : 21-9, 21-13)