Pasukan futsal elit dari Pahang, Kuantan Rangers FC percaya mereka akan tampil sebagai sebuah pasukan yang jauh lebih baik dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2019.

Setelah membimbing pasukan itu menamatkan saingan di tempat kelima dalam penampilan sulung musim ini, jurulatihnya, Faizul Abdul Gaffar berpendapat ia telah menjadi satu medium pendedahan yang baik kepada barisan pemainnya dan membantu mematangkan mereka bagi menghadapi saingan mendatang.

Menurut bekas kapten kebangsaan itu, apa yang penting dalam musim pertama ini adalah membina asas yang kukuh untuk pasukan bertapak, mengetengahkan pemain khususnya pemain muda kepada perlawanan kompetitif dan memberi pendedahan kepada intensiti pertandingan.

“Penyertaan pertama ini telah memberikan pasukan satu asas yang baik. Tidak semua pemain ada pengalaman main di level tinggi atau LFK sebelum ini, jadi dari sini mereka belajar menjadi lebih baik dan sudah tentunya kita akan menghadapi 2019 dengan lebih optimis.

“Kita ada perancangan jangka panjang, kita ada visi yang mahu dipenuhi, ini adalah satu permulaan yang baik, Kuantan Rangers sedang berada pada landasan yang betul dan tidak mustahil kita boleh menjadi pasukan pencabar kejuaraan jika terus kekal pada landasan ini,” ujar Faizul.

Faizul juga menganggap kejayaan tiga pemain yang merupakan produk pasukan itu iaitu Harith Naim Mohd Nasir, Iqbal Aikal Mohd Nor dan Mahadir Harahap Khairudin memecah masuk ke dalam skuad senior dan remaja kebangsaan sebagai pencapaian yang wajar dibanggakan.

“Dalam tempoh singkat kita berjaya ketengahkan ramai pemain bertaraf nasional. Daripada tujuh pemain kebangsaan yang kita ada sama ada pasukan senior mahupun bawah 20, tiga pemain tersebut (Harith Naim, Iqbal, Mahadir) adalah produk Kuantan Rangers. Malahan Zainal Abidin (Hamzah) juga pernah dipanggil ke kem latihan pusat.

“Kita juga ada pemain muda dari Sarawak Iskandar (Harun) manakala pemain seperti Yazid (Kamaruzuan), Syafiq (Hamzah) dan Akmarulnizam (Idris) sudah berada lebih lama dalam pasukan kebangsaan dan kita cuba untuk memastikan mereka kekal di level tersebut,” kata Faizul lagi.

Sebagai rekod, Kuantan Rangers yang ditubuhkan pada hujung 2016 turut pernah merekrut bintang futsal terkemuka dunia, Rico Zulkarnain yang kemudiannya membantu mereka menjulang Liga Futsal Brunei pada tahun lalu.

Mengenai persiapan musim baru, Faizul berkata latihan tetap diteruskan seperti biasa bagi memastikan pemain-pemain sentiasa berada dalam fizikal dan kecergasan terbaik dan mereka ketika ini sedang menantikan pengumuman dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai kalendar LFK 2019.

“Kita banyak mengadakan perlawanan ujian bersama pasukan-pasukan tempatan, jadi selain menjaga stamina kita juga gunakan peluang tersebut untuk memantau sekiranya ada bakat-bakat yang boleh diserap atau ditawarkan sesi trial, kita mahu membentuk sebuah skuad mantap,” ujar Faizul.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -