Penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Mohd Fauzi semakin hampir untuk menjadi rekrut terbaru skuad juara Piala Malaysia, Perak.
Pemain itu sebelum ini pulang ke pangkuan PKNP FC setelah kontrak pinjaman dengan kelab Thailand, Nakhon Ratchasima berakhir, dan sang seladang secara terbuka menyatakan minat untuk memperkuatkan jentera serangan mereka yang tidak mempunyai penyerang tempatan dengan membawa masuk Shahrel.
Shahrel masih mempunyai kontrak bersama PKNP FC sehingga 2020 dan dia sendiri pernah memaklumkan bahawa masih sayangkan pasukan yang mengangkat namanya itu.
Begitupun dengan Perak dan PKNP FC berpotensi menjayakan rundingan ‘adik-beradik’, Shahrel nampaknya sedang menimbangkan tawaran dari Perak secara serius, cuma ada beberapa syarat yang diletakkan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menyebabkannya masih tidak dapat membuat keputusan.
Ianya diakui Pengurus Perak, Datuk Adli Shah Ahmad Tah, “Kita sudah hampir lengkap, tinggal mungkin satu dua pemain termasuk Shahrel dan kita sudah berbincang dengannya. Saya yakin dalam masa terdekat kita akan dapat persetujuan daripada Shahrel.
“Peluang dia menyertai Perak amat cerah. Cuma ada sikit masalah iaitu persetujuannya dengan PAFA mengenai syarat yang diletakkan mengenai kesamarataan dalam kalangan semua pemain agar tidak ada perasaan berbelah bahagi, biar sama rata dari segi kontrak semua pemain,” katanya.
Perak yang bakal beraksi dalam saingan Kelayakan Liga Juara Asia buat pertama kali pada 2019 setelah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua, membuat keputusan untuk tidak terlalu berbelanja mewah apabila mengekalkan hampir sebahagian besar skuad musim ini.
Mereka hanya membawa masuk J.Partiban (Terengganu) dan Zachary Anderson (PKNS FC) manakala kelibat tiga import dari Brazil iaitu Wander Luiz Bittencourt Junior, Gilmar Silva dan Leandro Dos Santos kesemuanya dikekalkan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN