Lembaga Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sedang melaksanakan kajian menyeluruh terhadap semua aspek operasinya bagi keperluan untuk menjadikan PSM sebagai agensi saraan sendiri dan tidak terikat dengan bantuan kewangan Kerajaan.
Menerusi kenyataan media, kajian semula melibatkan penilaian semula semua kontrak semasa untuk bekalan barangan dan perkhidmatan serta struktur organisasi di peringkat atasan dan pertengahan.
Lebih daripada 70 kontrak sedang dikaji semula untuk membolehkan ketelusan yang lebih tinggi dalam bekalan barangan dan perkhidmatan kepada PSM, kebanyakan kontrak ini akan menjadi lebih berkesan dijalankan secara dalaman dan perancangan ini telah pun bermula.
Pada masa yang sama tiada hak eksklusif diberikan kepada semua kontraktor terlibat.
Berhubung jumlah kakitangan, PSM kini mempunyai sejumlah 67 lantikan kontrak dan 109 jawatan tetap, berlaku pertindihan tugas antara kakitangan akibat lebihan kakitangan.
Justeru itu, PSM memutuskan mana-mana kakitangan kontrak yang akan tamat pada 31 Disember 2018 akan diberikan tempoh sehingga 15 Februari 2019 sebagai tempoh “soft landing” dan memberi ruang untuk mencari pekerjaan lain.
Selain mengurangkan perbelanjaan, PSM telah memulakan dasar meningkatkan pendapatan melalui pemasaran yang lebih besar, jualan dan acara-acara yang kreatif.
Baru-baru ini semasa AFF Suzuki Separuh Akhir & Akhir, penjualan Suite Korporat berjaya mengumpulkan lebih RM500,000 untuk PSM. Ini tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Terdapat juga perancangan untuk mengadakan acara hiburan yang lebih besar di Stadium Nasional. PSM juga sedang berbincang dengan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menambahkan bilangan perlawanan bolasepak di KL Sports City. Bilangan acara yang diadakan di Axiata Arena juga dijangka meningkat sebanyak 50%.
Pada bulan hadapan, PSM akan mengumumkan kalendar program yang akan diadakan di KL Sports City.
Bersempena dengan perkara di atas, PSM akan menjalani proses perubahan imej secara menyeluruh, termasuk laman web dan pengendalian media sosial.
Untuk tujuan ini juga, PSM akan turut memperkenalkan tempahan dalam talian untuk semua tempahan kemudahan dan acara.
Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes, berkata “Bulan-bulan mendatang akan menjadi lebih sukar tetapi melalui penekanan dan pelaksanaan yang sesuai akan adanya sinar di penghujung jalan.”
Menurut beliau, PSM akan tampil sebagai entiti yang lebih kuat dan berdaya saing selepas pelaksanaan semua perancangan ini. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan PSM di atas semua kerja keras yang telah dilakukan.