Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee tetap resah berhubung status dua pegawai daripada Institut Sukan Negara (ISN) yang hanya akan membantunya sehingga tamat aksi persahabatan di Bangkok sahaja.
Ahmad Hilmi Abdul Latif yang berfungsi sebagai penganalisa prestasi sementara Norazmi Ramly yang merupakan pakar nutrisi menjadi pilihan Kim Swee untuk dibawa bagi mengharungi dua kejohanan besar pada Mac.
Namun, ISN hanya melepaskan Hilmi dan Norazmi sehingga 18 Januari dimana skuad bawah 23 tahun negara akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand.
“Selepas menerima maklumat tentang dua pegawai ISN yang tidak dilepaskanpada lewat malam semalam, saya menerima mesej (SMS) daripada pegawai ISN mengatakan mereka dilepaskan untuk program di Bangkok sahaja.
“Tetapi kejohanan AFF dan kelayakan Piala AFC B23 2020, mereka tidak akan dilepakan kerana faktor kriteria kriteria tertentu dan ISN sedang melalui proses perubahan,”kata Kim Swee ketika sesi latihan pertama skuad B23 tahun negara di Kelana Jaya.
Tambah Kim Swee, beliau akan bertemu dengan pegawai tertinggi ISN untuk mendapatkan persetujuan bagi membenarkan dua pegawai ISN mengikuti skuad kendaliannya di dua kejohanan yang akan berlangsung pada Mac.
Dalam pada itu, Kim Swee menjelaskan bagi sesi latihan pertama skuad bawah 23 tahun negara, hanya 17 daripada 26 pemain melaporkan diri.
Tujuh pemain masih bersama pasukan dan kelab masing masing bagi mengharungi aksi persahabatan pada malam ini dan dijangka melaporkan diri esok.
Manakala dua pemain, Muhammad Izzan Syahmi Mustapa dan Ariff Ar-Rasyid Ariffin mungkin tidak akan menyertai rakan sepasukan susulan masalah kecederaan.
“Hanya enam dari Kelantan dan seorang dari Kedah akan melaporkan diri esok kerana akan beraksi dalam perlawanan persahabatan bersama kelab mereka manakala dua lagi iaitu R.Kogileswaran dan Mohd Faizal Abdul Halim akan bersama di Bangkok memandangkan kini mereka berada di sana bersama Pahang,” tambahnya.
Skuad B-23 negara akan menguji kekuatan menentang MIFA pada Sabtu sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand pada Ahad.
Malaysia akan berdepan Bangkok Class FC pada Isnin depan diikuti perlawanan ke atas Army United FC pada 16 Januari sebelum pertemuan menentang Ayuthaya United FC pada 18 Januari melepngkapkan jadual perlawanan persahabatan skuad B23 negara.