Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni memberikan peringatan kepada pengurusan baru Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) agar tidak merosakkan kepercayaan diberikan Malaysia Football League (MFL), berikutan pelbagai cerita kurang enak yang mula kedengaran terutama berhubung soal tunggakan gaji pemain
Media-media tempatan melaporkan 18 pemain dari skuad Perlis Northern Lion II belum menerima tunggakan gaji musim lalu serta gaji pertama musim ini seperti dijanjikan.
Menurut perjanjian yang dipersetujui oleh pengurusan dan pemain, tunggakan gaji itu akan dibayar secara bulanan bersama gaji semasa yang mana bayaran pertama sepatutnya diterima selewat-lewat 7 Januari lalu namun sehingga kini ia tidak dilunaskan.
Situasi ini mencetuskan semula persoalan mengenai kewajaran MFL membenarkan Perlis bertanding dalam Liga Perdana walaupun ia bersyarat sepertimana dinyatakan oleh badan pentadbir Liga Malaysia itu.
āSaya mengikuti rapat perkembangan bola sepak Perlis dan berasa gembira apabila mendengar ada individu yang sanggup menerajui persatuan itu dan menyelesaikan masalah kewangannya.
āNamun, selepas itu saya mendengar pelbagai cerita kurang enak. Saya tidak pasti sama ada ia benar atau sebaliknya dan saya pun tidak ambil kisah sangat.
āTapi, hari ini, timbul pula cerita gaji tertunggak masih belum diselesaikan sebagaimana dijanjikan sedangkan pada masa sama pasukan itu berbelanja sakan mendapatkan pemain yang ada nama seperti Safee (Sali), Piya (Badhri Radzi) dan beberapa orang lagi.
āSaya berharap isu ini dapat diselesaikan dan pengurusan baharu ini tidak ākencingā pemain, juga MFL yang bermurah hati memberikan mereka slot bertanding dalam Liga Perdana.
āTolong jangan busukkan nama Singa Utara yang suatu masa dulu sangat gah hasil usaha kami, pemain era terdahulu yang bertungkus-lumus menaikkan nama negeri ini,ā kata Bakri.
Sementara itu PFA dalam kenyataan media pada Khamis menjelaskan bahawa mereka sudah memanggil wakil pemain Piala FAM 2018 pada 7 Januari lalu untuk memberitahu masalah kelewatan gaji yang sepatutnya dibayar pada tarikh itu namun tiada wakil pemain skuad itu yang hadir.
Malah kenyataan itu turut menyatakan bahawa PFA telah memberi penjelasan kepada salah seorang pemain Piala FAM pada 8 Januari dan mereka dimaklumkan bahawa maklumat itu sudah dikongsi dengan para pemain yang terbabit. MUHD AIMANĀ