Selepas kejayaan dua pasangan bergu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie mara ke pusingan kedua Indonesia Masters semalam, dua lagi wakil negara mengesahkan slot ke pusingan kedua selepas sesi pagi.
Bergu wanita, Chow Mei Kuan- Lee Meng Yean mengikuti jejak bergu campuran negara, untuk melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan dari Rusia, Ekaterina Bolotova-Alina Davletova dengan kemenangan straight set 21-15, 21-17.
Halangan besar menanti Mei Kuan dan Meng Yean apabila bakal berdepan pilihan kelapan dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai yang menang ke atas wakil India, Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki.
Sementara itu, wakil perseorangan lelaki, Lee Zii Jia melakar kejutan hari ini selepas menunjukkan jalan keluar kepada pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien Chien.
Zii Jia yang juga semifinalis Malaysia Masters minggu lalu hanya memerlukan 31 minit untuk menang 21-13, 21-13.
Beliau dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat suku akhir kerana bakal berdepan pemain daripada pusingan kelayakan, Sitthikom Thammasin dari Thailand.
Dalam pada itu, nasib malang menimpa dua perseorangan wanita negara apabila tersingkir di pusingan pertama.
Goh Jin Wei yang berdepan seteru yang sama ketika di peringkat suku akhir Malaysia Masters minggu lalu, He Bingjiao dari China, tewas dalam pertarungan tiga set.
Menang 21-16 di set pertama, Bingjiao yang juga pilihan keenam bangkit dengan permainan yang lebih meyakinkan untuk memastikan kemenangan 23-21 sebelum menutup set penentuan dengan keputusan 22-20 sekaligus mara ke pusingan kedua.
Sementara Sonia Cheah tidak mampu untuk mengatasi kemahiran yang dimiliki Ratchanok Intanon dari Thailand.
Sonia tewas 15-21, 14-21 ke atas pilihan ketujuh itu selepas bertarung selama 39 minit.
Lima lagi wakil negara termasuk Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan perseorangan lelaki, Chong Wei Feng yang akan beraksi di sebelah petang.