Bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad B-17 Perlis, susulan masalah kewangan dihadapi Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sehingga membawa kepada isu tunggakan gaji lebih dua bulan.
Sambil meluahkan kekecewaan kerana pelbagai perancangan tidak dapat direalisasikan gara-gara kepincangan pengurusan selain diberikan pelbagai janji palsu, Akmal menegaskan dia sudah tidak boleh menunggu lagi memandangkan dirinya ada tanggungan dan keluarga yang perlu diuruskan.
“Sejujurnya, saya tak nampak halatuju PFA dalam menguruskan skuad bawah 17 negeri dan segalanya berubah sama sekali tidak mengikut perancangan yang dimaklumkan pengurusan PFA kepada saya sebelum ini.
“Saya sudah melakukan sesi pemilihan sebanyak dua kali dan senarai penuh pemain sudah ada, tetapi bila ditanya mengenai soal pertukaran sekolah pemain dan jadual latihan, pihak pengurusan hanya minta saya menunggu sahaja,” katanya.
“Dulu lain, segala perancangan nampak elok tetapi seolah ada sesuatu yang tak betul sedang berlaku dan setiap kali ditanya mengenai pembangunan pemain pihak pengurusan minta saya menunggu.
“Perkara sebegini tidak boleh berlaku kerana industri bola sepak kita sedang membangun dan saya harap pihak pengurusan perlu teliti selepas ini dan perlu ukur baju di badan sendiri setiap kali menandatangani kontrak jurulatih serta pemain,” tambahnya lagi.
Sebagai rekod, PFA telah sekurang kurangnya empat kali berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji namun sehingga kini masih membisu dan kini Presiden PFA, Dato’ Amizal Shaifit Ahmad Rafie sekadar menjawab “ianya sedang diusahakan dan akan selesai dalam tempoh masa terdekat”. – OLEH MUHAMMAD AIMAN