Universiti Kuala Lumpur (UniKL) beredia meneruskan rentak kemenangan ke atas Maybank dalam dua aksi separuh akhir Piala TNB bermula esok, tanpa mahu memikirkan serangan psikologi yang dimainkan sesetengah pihak untuk melemahkan persiapan skuad juara bertahan tersebut.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Liga Perdana buat julung kalinya minggu lalu, UniKL di bawah bimbingan Arul Selvaraj dan Maybank diterajui Azrul Effendy Bistaman, akan berentap kali ketiga di Stadium Tun Razak, esok.

UniKL dan Maybank telah bertemu dua kali dalam saingan liga sebelum ini yang berkesudahan dengan pasukan universiti itu mencatat kemenangan bergaya 5-1 dalam aksi pusingan pertama diikuti kemenangan sukar 2-1 bagi separuh kedua musim.

Satu lagi aksi separuh akhir menemukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Terengganu Hockey Team (THT) yang akan dijalankan di stadium sama selepas aksi membabitkan UniKL dan Maybank.

Aksi timbal balik separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung pada Khamis ini.

Ketika menyampaikan pesanan pembakar semangat buat barisan pemain dalam satu majlis makan tengah hari bagi meraikan kejayaan UniKL muncul juara liga musim 2019, Presiden UniKL, Prof Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, berkata:

“Kita telah berusaha keras sejak sekian lama untuk menjalankan kerja pembangunan hoki di UniKL dan pada musim ini saya melihat pemain menunjukkan usaha yang tinggi untuk memenangi gelaran Liga Perdana, sebagai juara bertahan Piala TNB, kami akan fokus untuk menghadapi satu demi satu perlawanan dengan sasaran untuk memenanginya.”

“Kita perlu terus menampilkan persembahan lebih baik apabila menentang Maybank dengan apa jua sumber yang ada dan saya amat yakin dengan pemain yang ada,” tambahnya.

Majlis makan tengah hari itu atas jemputan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diadakan di Chili’s Restaurant di Vertical Mall. Baginda juga adalah Canselor UniKL.

UniKL bagaimanapun tampak bersemangat untuk menghadapi Piala TNB selepas membawa bekalan tanpa tewas sepanjang perjalanan menjuarai Liga Perdana dengan memungut keseluruhan 34 mata hasil daripada 11 kemenangan.

Kesungguhan UniKL dalam berbelanja besar untuk mendapatkan trio import bertaraf dunia dari Belanda Robbert Kemperman, Martijn Havenga,  dan Valentin Verga serta penjaga gol dari Ireland, David Harte bersama dua pemain Australia, Kieran Govers dan Timothy Deavin nyata menjadi suntikan utama kejayaan tersebut.

Kemperman dan Havenga masing-masing telah menjaringkan enam gol liga diikuti Verga (tiga gol) dan Govers (dua gol).

Namun pasukan itu pastinya mengharapkan satu lagi persembahan meyakinkan daripada pakar pukulan sudut penalti Razie Abd Rahim dan Havenga menjelang pertembungan dengan Maybank, yang dilihat kian menunjukkan peningkatan prestasi selepas bermula perlahan pada awal musim.

Razie adalah penjaring ketiga terbanyak liga dengan 11 gol – hanya empat gol di belakang pendahulu pemain THT, Jang Jonghyun dari Korea Selatan dan penyerang Maybank, Hafifihafiz Hanafi dengan 13 gol.

Dengan kehadiran penuh barisan penuh pemain utamanya yang tidak dihimpit sebarang isu kecederaan, pengendali UniKL, Arul berjanji untuk menghadiahkan Maybank cabaran yang getir.

“Ia sememangnya perasaan yang hebat untuk digelar sebagai pasukan pilihan. Piala TNB menjanjikan situasi perlawanan yang berbeza dan kami tidak boleh tewas. Kami sudah pernah melihat kejutan. Seperti tahun lalu kami menamatkan saingan liga di tangga keempat berbanding THT (juara) dan kami menewaskan mereka di separuh akhir,” kata Arul.

“Kami akan menggunakan pendekatan mudah. Mengambil satu perlawanan demi perlawanan bagi pertemuan berdepan Maybank dengan sasaran ingin ke pentas akhir,” katanya.

- Advertisement -