Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee masih mencari formula terbaik untuk membentuk gandingan di bahagian pertahanan sebelum saingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 bermula.

Kim Swee tampak kurang berpuas hati dengan posisi pertahanan selepas Malaysia diuji skuad bawah 23 tahun Australia.
Namun, dari satu aspek, beliau gembira dengan prestasi yang dipamerkan Syamer Kutty Abba ketika diturunkan untuk bermain di posisi pertahanan.

 

 

“Dia (Syamer Kutty Abba) bermain dengan baik walaupun pertama kali bermain di posisi pertahanan.

“Saya meghadapi masalah untuk mencari kombinasi yang terbaik untuk posisi pertahanan. Dengan adanya Syamer dan saya mengharapkan Dominic Tan kembali pulih daripada kecederaan dan kombinasi pasti akan bertambah baik. Khairul Nizam juga bermain dengan baik,”kata Kim Swee.

Aksi persahabatan antarabangsa skuad bawah 23 tahun negara menyaksikan Malaysia terpaksa menanti hingga saat saat akhir untuk mencetak jaringan penyamaan sekaligus mengikat skuad bawah 23 tahun Australia satu sama.

Separuh masa pertama menyaksikan penguasaan pelawat yang tampak mempunyai kelebihan kemahiran individu sekaligus mampu mengawal bola dengan baik.

Tiga percubaan terbaik dijelmakan barisan serangan Australia sepanjang babak pertama membuka cerita kerapuhan barisan pertahanan Malaysia memaksa Muhd Haziq Nadzli berkerja keras untuk mengawal gawangnya.

Tidak banyak percubaan yang mampu dijelmakan anak didik Datuk Ong Kim Swee, sebaliknya gawang Malaysia bolos 4 minit selepas separuh masa kedua bermula.

Tandukan pemain tengah, Brandon Wilson yang tidak dikawal merentap semangat juang pemain pemain negara yang terus buntu mencari ruang untuk mengegar kubu pelawat.

 

Usaha bertali arus anak didik Kim Swee hanya membuahkan hasil di penghujung perlawanan apabila pemain gantian Nik Azli Nik Alias memanfaatkan aksi kelam kabut di depan gawang pelawat sebelum melepaskan rembatan rendah sekaligus menggegar gawang lawan untuk jaringan penyamaan.

“Dia (Nik Azli) bermain dengan baik dan pemain yang pantas dan ianya sesuatu yang penting kerana kami mempunyai beberapa pilihan untuk mengisi bahagian serangan termasuk Safawi yang tidak diturunkan dan ketinggian yang dimiliki oleh Hadi Fayyadh Abd Razak,”kata Kim Swee lagi.

Malaysia akan memulakan kempen Kelayakan Kejuaraan AFC 2020 berdepan Filipina .

 

- Advertisement -